Kemahiran yang ditunjukkan oleh pemandu jentera 4x4 membuatkan perjalanan meredah hutan selamat. Apatah lagi, apabila aktiviti itu diadakan secara konvoi. Semangat setiakawan dan kerjasama berpasukan yang jitu mampu mencipta sebuah kejayaan dalam setiap misi yang ditetapkan.

Selain berkonvoi meredah hutan, penggemar aktiviti memandu lasak jentera 4x4 juga terlibat dalam aktiviti berbentuk pertandingan bagi menguji kemahiran mengendalikan kenderaan 4x4 masing-masing. Itulah yang dirasai oleh penulis apabila diberi peluang untuk melihat secara dekat pertandingan ‘4x4 Night Challenge’ anjuran Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (Malaysian 4WD) di Kota Seriemas Golf dan Country Club di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Ternyata pertandingan yang menawarkan tiga kategori iaitu ‘Light Core Full Cabin Standard Shot Body’, ‘Light Core Full Cabin Standard Long Body dan ‘Medium Core Standard Open’ itu menguji ketahanan fizikal dan turut mencabar kekuatan mental serta semangat kerjasama berpasukan.

Melihat kesukaran peserta melepasi trek yang disediakan sehingga ada kenderaan tersangkut dalam lumpur, selain hampir terbalik pasti mendebarkan sesiapa sahaja yang berada di kawasan tersebut.

Pada ketika itu, kemahiran dan ketangkasan peserta memainkan peranan yang sangat penting termasuk merancang strategi bagi membolehkan mereka melepasi setiap halangan sukar, sekali gus menjimatkan masa untuk bergelar juara.

Pertandingan yang disertai oleh 55 pacuan empat roda termasuk seorang peserta wanita menjadi semakin mencabar dan lebih sukar menjelang malam memandangkan persekitaran semakin gelap.

Di samping itu, penglibatan pemandu wanita tunggal, Fauziah Muhamad Nor, 34, dalam kategori ‘Light Core Full Cabin Standard Short Body’ membuktikan bahawa tanggapan aktiviti lasak sesuai untuk golongan Adam sahaja ternyata tidak benar.

Apa yang mengujakan, pertandingan yang berlangsung dalam tempoh kurang 24 jam bermula pukul 6 petang dan tamat pada pukul 5 petang keesokan harinya, turut dimeriahkan dengan kehadiran keluarga peserta. Mereka sanggup berkhemah di tepi jalan sepanjang pertandingan berlangsung sebagai tanda sokongan.

Dalam pada itu, Presiden Malaysian 4WD, Datuk Azizul Rahman Abdul Wahab berkata, buat pertama kali pertandingan kenderaan pacuan empat roda diadakan pada waktu malam kerana mahu memberikan cabaran kepada peserta mengendalikan jentera 4x4 masing-masing dalam persekitaran gelap.

“Kita nak lihat sejauh mana peserta mahir mengendalikan kenderaan masing-masing 
pada waktu malam. 
Cabarannya tentu sahaja berbeza berbanding 
berlumba pada waktu siang seperti tahun sebelumnya,” katanya.

Selain itu, Azizul berkata, persatuan memilih Kota Seriemas sebagai lokasi pertandingan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai aktiviti sukan lasak 4x4 yang biasanya diadakan di dalam hutan.

“Alhamdulillah, penyertaan kali ini amat menggalakkan. Konsep santai yang diketengahkan memberi peluang kepada peserta untuk beriadah bersama keluarga, sekali gus memupuk semangat kerjasama dalam pasukan,” katanya.