Itulah yang berlaku dalam acara Kuala Lumpur Fabulous Food Hunt 2018 (KLFFH 2018) pada 20 Oktober lalu. Sebanyak 1,200 peserta mengambil bahagian dalam acara yang bermula dari Dataran DBKL di Kuala Lumpur itu.

Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), KLFFH 2018 menjadi salah satu acara penting dalam memperkukuhkan pelancongan makanan di Malaysia, terutamanya Kuala Lumpur.

“Acara menarik itu dianjurkan sejak tujuh tahun lalu untuk mempromosikan dan memupuk kesedaran masyarakat dan pelancong mengenai keunikan pelbagai jenis makanan istimewa di negara ini,” kata kenyataan itu kepada S2.

Acara anjuran MOTAC dan Pejabat MOTAC Kuala Lumpur/Putrajaya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bermula pada pukul 9 pagi dan tamat sekitar pukul 4 petang. Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Datuk Haslina Abdul Hamid menyempurnakan perasmian acara dengan iringan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Kesemua 1,200 peserta dibahagikan kepada 300 pasukan yang berlumba di sekitar Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam seperti teksi, bas, LRT, komuter, monorel dan MRT.

Pemenang tahun ini bagi kategori terbuka adalah kumpulan Pedas Meletop dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000. Kategori wanita menjadi milik kumpulan Box Babes, kategori antarabangsa dimenangi kumpulan Gladieaters serta kategori tertutup jatuh kepada pasukan Media Prima Digital yang masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM500 serta hadiah iringan.

Dalam perlumbaan itu, peserta dikehendaki menyiapkan tugasan di semua lapan lokasi untuk mendapatkan setem ‘siap’ sebelum menamatkan perlumbaan. Setiap check point mempunyai cabaran tersendiri seperti makan hidangan popular, menjawab soalan berkaitan pelancongan di Malaysia dan Kuala Lumpur serta mencari lokasi popular dan restoran terpilih dengan masa terpantas.

Peserta juga perlu mempromosikan tanda pagar acara seperti #SayangiMalaysiaku, #VisitKL, #KLFFH, dan #MalaysiaTrulyAsia dalam status media sosial mereka, sebagai salah satu peraturan dan usaha untuk mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan melalui media sosial.

Dalam pada itu, penganjur menerima penyertaan tertinggi dari luar negara. Antara peserta antarabangsa adalah dari United Kingdom, Belanda, Singapura, Sudan, Amerika Syarikat, Syria, Maghribi, Nigeria, Iran, Palestin, Romania, India, Ireland, Mesir, Belgium, Indonesia, Filipina, Kanada, Lubnan, Jerman, Australia, Ukraine dan Rusia.

Tahun ini, KLFFH 2018 mempersembahkan Kuala Lumpur sebagai ‘Hot Spot’ untuk destinasi makanan popular dari restoran terkemuka yang mewakili pelbagai kebudayaan untuk hidangan antarabangsa pilihan di Malaysia. Semasa menikmati pelbagai makanan itu, peserta juga berpeluang meneroka Kuala Lumpur dan mengenali tempat makan popular serta restoran terkenal.

Hadiah menarik dan cabutan bertuah turut disediakan kepada peserta. Selain itu, sebanyak 45 pasukan pertama dari mana-mana kategori membawa pulang hadiah wang tunai melebihi RM20,000. Terdapat juga barangan lain ditawarkan sebagai hadiah cabutan bertuah seperti peralatan sukan lasak, baucer makanan dan hotel. Semua hadiah itu ditaja oleh rakan rasmi KLFFH.

Sementara itu, MOTAC berharap hubungan strategik dengan DBKL, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, penaja, pemilik restoran dan rakan media akan terus berkembang pada masa akan datang, terutamanya dalam usaha MOTAC menyasarkan 36 juta pengunjung pada tahun 2020.