BBGCR merupakan antara lapangan yang terletak di kawasan pinggir bandar bersesuaian dengan mereka yang ingin menguji kecekapan serta ketepatan permainan mereka.

Lapangan golf 18 lubang di atas kawasan seluas 6,241 meter persegi itu menawarkan cabaran tersendiri dengan landskap flora dan fauna semula jadi yang mampu memberikan kedamaian kepada setiap pengunjung.

Dinamakan sebagai lapangan East, keseluruhan kawasan itu dilitupi dengan rumput jenis cowgrass dan kawasan green dilengkapi tiffeagle.

Jarak setiap lubang adalah bersesuaian untuk setiap pemain dan pemain-pemain akan berdepan cabaran khususnya di beberapa lubang yang dibina di kawasan tasik dan ada di antaranya memiliki dua tasik.

BBGCR sebelum ini pernah menjadi antara lokasi untuk pemain-pemain amatur menguji kemahiran mereka sebelum menjadi pemain profesional selain pernah menganjurkan beberapa kejohanan pada awal penubuhannya.

Menurut Pengurus Besar BBGCR, Ahmad Zaki Othman, BBGCR yang ditubuhkan pada 1991 itu turut menyediakan lokasi penginapan yang memiliki 50 bilik hotel serta dewan serba guna bagi tujuan mesyuarat dan sebagainya dengan pakej serendah RM130 untuk sehari.

Katanya, selain lapangan golf, BBGCR turut menyediakan kemudahan sukan lain termasuk gelanggang badminton, tenis, skuasy dan futsal selain taman tema air dengan tawaran harga berpatutan untuk keluarga menghabiskan cuti hujung minggu mereka.

“Sekiranya memilih untuk menginap di resort itu, mereka akan diberikan akses masuk percuma ke kawasan Splash Park untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak.

“Bagi mereka yang ingin menganjurkan seminar atau majlis perkahwinan, dewan serba guna di BBGCR sangat bersesuaian untuk kerana 
ia mampu menampung sehingga 2,000 tetamu 
dalam satu-satu masa 
dengan pelbagai kemudahan lain turut disediakan,” 
katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Ahmad Zaki lagi, pakej perkahwinan pula disediakan dengan tawaran harga bermula RM18 seorang termasuk kemudahan pelamin serta makan beradab.

Katanya, pelbagai pakej lain turut disediakan termasuk pakej hari keluarga, mesyuarat, hari jadi, pameran serta hari sukan dan setiap pakej itu boleh disesuaikan mengikut bajet pelanggan.