Kalau dah ada aktiviti berkonvoi, tentulah ada sesi ‘teh tarik’. Bila dah ramai berkumpul, macam-macam idea muncul termasuklah menubuhkan sebuah kelab pemotoran. Inilah yang berlaku kepada Kelab BMWS1KMALAYSIA. Semuanya bermula pada November 2016. Hasil idea Mohd Shahril Izad Mohad Saleh dan perjumpaan pertama di Restoran Hameediyah, Kota Damansara, maka lahirlah kelab itu pada 3 Disember 2016. Sebanyak 20 penunggang motosikal BMW S1000RR hadir pada hari bersejarah itu.

Kata sepakat terus diikat apabila perjumpaan kedua diadakan di Podium by Daun, Sri Hartamas pada 31 Disember. Kali ini mesyuarat dihadiri 60 penunggang. Pelekat kelab diedarkan dan koleksi baju t pertama diedarkan pada 13 Januari 2017.

Aktiviti berkumpul sambil bertukar-tukar pendapat mengenai jentera dua roda itu terus diadakan. Ini dapat dilihat pada perjumpaan keempat di Restoran Saba Nasi Arab, Cyberjaya pada 21 Januari 2017, dihadiri 65 penunggang.

Langkah terus diatur ke hadapan apabila aktiviti berkonvoi pertama diadakan pada 26 Februari 2017. Destinasi pilihan adalah Ipoh, Perak dan dianjurkan oleh penunggang dari kawasan tengah dan utara Semenanjung. Sejumlah 53 ahli mengambil bahagian.

Seorang ahli kelab, Amri Ramlee, 44, berkata, ada banyak aktiviti diadakan selepas itu, antaranya BMW Nite Fuel yang berlangsung pada 15 April 2017 dan dimeriahkan dengan kehadiran 40 penunggang BMW S1000RR.

Dalam pada itu, permintaan terhadap baju t kelab terus meningkat.

“Pakai baju t yang sama nampak lebih bergaya dalam semua aktiviti yang diadakan. Sebab itulah, tempahan baju t sentiasa mendapat sambutan,” katanya kepada S2.

Aktiviti lain adalah perjumpaan mewakili ahli dari sekitar Shah Alam di Seksyen 13 pada 10 Mei 2017, dihadiri 25 penunggang.

Mencari tarikh yang sesuai untuk aktiviti menunggang yang seterusnya, akhirnya kata sepakat dimeterai pada 16 Disember 2017. Tarikh itu menjadi saksi penyertaan sebanyak 117 penunggang dari kawasan tengah dan timur Semenanjung. Kesemua motosikal berkuasa tinggi ini bergerak menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Lebih mengujakan apabila aktiviti ini mendapat liputan majalah online. Sebanyak 150 helai baju t diserahkan kepada penunggang dan rakan-rakan,” tambahnya.

Walaupun baru ‘setahun jagung’ ditubuhkan, kelab terus bergerak aktif dan sentiasa memikirkan cara untuk merapatkan silaturahim ahli. Hasilnya, BMW Nite Fuel berlangsung pada 7 April 2018, melibatkan 40 penunggang dari kawasan utara dan tengah Semenanjung.

“Beberapa bulan kemudian, pada 22 Julai 2018, program BMWS1KMALAYSIA Trackday diadakan di Sepang Circuit dengan kerjasama Monsta8 Trackday.

“Namun apa yang lebih membanggakan adalah pihak kelab berjaya mengumpul sejumlah penunggang dari seluruh negara termasuk Singapura baru-baru ini.

“Program yang dinamakan 1st BMWS1KMALAYSIA Mega Gathering ini berlangsung di Hotel Kings Green City Centre, Melaka pada tarikh sambutan Hari Malaysia.

“Oleh kerana ia sebuah program yang besar, maka pendaftaran penyertaan telah dimulakan seawal 11 Ogos 2018. Sebanyak 275 ahli termasuk dari Singapura terlibat menjayakan program julung kali ini,” ujarnya.