perbankan dan perdagangan utama dunia itu kini semakin mengukuhkan namanya sebagai destinasi pelancongan sukan dan rekreasi, khususnya acara berbasikal antarabangsa.

Acara berbasikal di bandar raya mega seluas 1,104 km persegi itu di dipopularkan menerusi acara tahunan sejak 2015, iaitu Sun Hung Kai Properties Hong Kong Cyclothon (SHKP Hong Kong Cyclothon) dengan edisi 2018 berlangsung baru-baru ini dengan penuh meriah.

Menerusi acara itu, warga Hong Kong seolah-olah melupakan seketika kesibukan bekerja seharian apabila bersama-sama memeriahkan acara yang diadakan di tengah-tengah kota metropolitan ‘hutan batu’ itu.

Kesibukan di Hong Hong seolah-olah terhenti pada 14 Oktober lalu apabila SHKP Hong Kong Cyclothon menguasai laluan utama sewaktu acara berbasikal berlangsung.

Acara tersebut menarik lebih 5,000 penyertaan yang terdiri daripada pelumba dan pasukan profesional sehinggalah kepada mereka yang berstatus amatur, orang biasa, kanak-kanak, keluarga malah orang kenamaan dan selebriti terkemuka Hong Kong turut berkayuh.

Mood ceria mewarnai kayuhan bagi peserta amatur melibatkan kayuhan sejauh 30 kilometer (km), manakala cabaran lebih sengit dalam acara kayuhan jarak 50km.

Sepanjang kayuhan, peserta melalui enam daerah, tiga jambatan dan tiga terowong di bandar raya mega Hong Kong.

Selain berkayuh, peminat sukan lumba basikal berpeluang menyaksikan perlumbaan terkemuka, Hammer Series Hong Kong yang disertai 11 pasukan UCI World Tour.

Sebelum ini, Kriterium Antarabangsa menjadi acara utama kayuhan tersebut, tetapi pada 2017, statusnya dinaik taraf kepada perlumbaan Kelas 1.1 Jelajah UCI Asia.

Antara pasukan yang mengambil bahagian dalam acara Hammer Series Hong Kong ialah Trek-Segafredo, BORA-hansgrohe, Lotto Soudal, Team Sky, Quick-Step Floors, Team Sunweb, Mitchelton-SCOTT, Team LottoNL-Jumbo, BMC Racing Team dan EF Education First-Drapac Cannondale.

Tidak ketinggalan, tiga pasukan Pro-Continental iaitu Nippo Vini Fantini Europa Ovini, Israel Cycling Academy Delko Marseille KTM Provence.

SHKP Hong Kong Cyclothon tersenarai dalam kalendar pelancongan Hong Kong dan Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) yang sentiasa menggalakkan masyarakat menyertainya.

Aktiviti

Pelbagai aktiviti lain disediakan sempena SHKP Hong Kong Cyclothon, antaranya permainan interaktif, pameran basikal dan merasai pengalaman menunggang basikal secara simulasi.

Ketika menyaksikan perlumbaan, pengunjung dan pelawat berpeluang menikmati makanan dan minuman di 11 buah restoran yang terdapat di kawasan tumpuan pelancongan terkemuka Hong Kong, Tsim Sha Tsui.

Dalam pada itu, media antarabangsa dari beberapa negara Asia termasuk dari Malaysia turut diundang oleh Lembaga Pelancongan Hong Kong untuk membuat liputan acara tersebut, selain mengambil bahagian dalam kayuhan amatur 30km.

Peluang menyusuri bandar raya mega dengan berbasikal tidak dilepaskan oleh penulis yang mengambil bahagian dalam kayuhan sejauh 30km.

Sepanjang laluan kayuhan yang bermula di Salisbury Road, peserta melalui Lebuh Raya Tsing Sha, Jambatan Stonecutters, Victoria Harbour, menempuh dua terowong iaitu Terowong Nam Wan dan Terowong Cheung Tsin, seterusnya Jambatan Cheun Tsing, Lebuh Raya Tsing Kwai dan menamatkan kayuhan di Pusat Kebudayaan Hong.

Jarak 30km yang dilalui sudah memadai untuk penulis mendapat sedikit sebanyak gambaran mengenai bandar raya mega Hong Kong secara lebih dekat.

Dalam pada itu, berbasikal bukanlah budaya masyarakat Hong Kong disebabkan kepadatan penduduknya, namun sukan itu sudah mula mendapat tempat dan semakin popular sebagai aktiviti rekreasi dan hobi.

Jika ada yang berhasrat untuk menerokai Hong Kong dengan berbasikal, tidak sukar untuk menyewa basikal kerana terdapat banyak kedai basikal menawarkan sewaan.

Antaranya kedai basikal Velo6 di On Wo Lane, Central dan antara kedai basikal terbesar di Hong Kong, Bull Bike di WaterLoo Road, Kowloon yang mula beroperasi sejak 2002 dengan menjual basikal berjenama terkemuka dan kelengkapan untuk acara triathlon.

Melalui penganjuran tersebut, selain destinasi membeli-belah, Hong Kong kini semakin mengukuhkan namanya sebagai destinasi pilihan untuk sukan pelancongan dan rekreasi antarabangsa.

SHKP Hong Kong Cyclothon merupakan antara acara sukan antarabangsa yang menarik penyertaan peserta antarabangsa, selain daripada Tenis Terbuka Hong Kong di Stadium Tenis Victoria Park dan Harbour Park Race iaitu acara renang dari Tsim Sha Tsui ke Wan Chai pada 21 Oktober.