Kini berusia 56 tahun, beliau yang lebih dikenali sebagai Man Putra tidak lagi aktif bersilat, namun masih membantu pelbagai aktiviti persatuan silat menerusi Persatuan Seni Silat Hulubalang Melaka (Silat Hulubalang). Ada kalanya beliau mewakili negeri Melaka bagi memenuhi jemputan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

“Tanpa ilmu dan tunjuk ajar pengasas Silat Hulubalang, Sotin Md. Ali (Allahyarham), mungkin saya tidak dapat menjadi juara silat dunia pada 1987,” katanya.

Kemenangan itu di luar dugaan kerana ketika itu beliau hanya mempunyai pengalaman bersilat selama kira-kira tiga tahun.

“Tetapi langkah kemas tapak tujuh yang diajar Pak Sotin banyak membantu kami mengutip mata tertinggi sehingga dinobatkan juara kategori senjata bagi lelaki,” katanya.

BUKAN BERMEGAH

Norazman kini lebih menumpukan perhatian kepada gerainya, Warung Mi Bodo Telur Mata. Di gerai itu beliau menjual pelbagai masakan ‘goreng-goreng’ di Padang Temu, kira-kira lapan kilometer dari bandar raya Melaka.

Menurutnya, Mi Bodo (bodoh) bermaksud mi yang digoreng ringkas dengan ramuan paling minimum.

Beliau yang pernah menjadi jurulatih silat sekitar 1990-an mengakui sukar memberi komitmen penuh di gelanggang kerana perlu menguruskan gerainya yang merupakan satu-satunya sumber rezeki sejak dua tahun lalu.

Bercerita lanjut Norazman berkata, ketika itu semua murid (pesilat) akan ke rumah Pak Sotin untuk solat maghrib dan isyak berjemaah sebelum kelas silat dimulakan. Kelas diadakan tiga kali seminggu.

“Dengan cara itu kami tidak melalaikan tanggungjawab untuk bersolat. Selain gerak dan langkah silat, Pak Sotin mengajar kami (pesilat) aspek agama dan sahsiah. Beliau juga berpesan bahawa ilmu silat bukan untuk bermegah,” tambahnya.

CORAK PERIBADI

Menyambung perbualan, Norazman melahirkan kebimbangan tentang nasib seni silat Melayu pada masa depan. Katanya, generasi muda perlu diberi galakan dan ruang seluasnya untuk mempelajari seni silat demi mempertahankan warisan itu daripada pupus ditelan zaman.

“Sebenarnya saya patah hati memikirkan masa depan silat. Kebanyakan budak sekarang sudah hilang jati diri sebagai Melayu. Mereka lebih minat tae kwan do, kick boxing, ninjutsu dan lain-lain berbanding silat yang merupakan seni mempertahankan diri warisan Melayu,” tambah beliau.

Pernah belajar tae kwan do, Norazman mengakui silat lebih dekat di hatinya kerana ia bukan sekadar ilmu bela diri, malah ilmu agama dan disiplin yang boleh mencorak peribadi individu yang mempelajarinya.

Malah, mana-mana aliran silat sekalipun akan mengajar pengikutnya agar tidak melaku­kan aktiviti kurang sihat dan perkara menyalahi undang-undang, jauh sekali yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

“Ibu bapa berperanan menggalakkan anak-anak untuk belajar silat agar warisan Melayu ini tidak hilang suatu hari kelak,” katanya.

GEMILANG SILAT

Mengimbas masa lalu, Norazman berpendapat punca kebangkitan anak muda memenuhi gelanggang silat pada 1970-an hingga 1990-an adalah kerana ketika itu banyak ditayangkan filem-filem silat seperti Pendekar pada 1977, Serampang Tiga (1981), Pendekar Kundur (1991) dan siri drama bertajuk Keris Hitam Bersepuh Emas (1990an-2002).

“Saya mula belajar silat selepas menonton filem-filem itu. Ketika itu usia saya dalam 20-an.

“Kini amat jarang ditayangkan filem-filem silat apatah lagi filem baharu seumpamanya. Saya harap syarikat penerbitan filem kembali menerbitkan filem silat agar dapat memupuk minat generasi muda mempelajari seni bela diri itu,” katanya yang adakalanya turun ke gelanggang membantu jurulatih mengajar silat.

Sementara itu seorang peminat silat, Amran Ali, 45, dari Kampung Pernu, Teluk Emas memberitahu bahawa silat yang dipelajari sejak zaman persekolahan sudah sebati dalam dirinya walaupun hampir empat tahun tidak aktif bersilat.

“Walaupun silat bersifat universal dan diterima masyarakat antarabangsa, namun silat tetap membawa identiti Melayu baik dari segi langkah, budaya, pakaian, senjata dan sebagainya.

Katanya, setiap individu bebas memilih seni bela diri yang mereka minati, namun jika bukan orang Melayu yang mempertahankan seni silat, siapa lagi? – BERNAMA