Wajah keriangan menghiasi air muka setiap kanak-kanak berkenaan yang begitu teruja memilih baju Melayu, sampin, songkok, baju kurung dan tudung di Pasar Raya Besar Mydin, USJ 1, Subang jaya dekat sini.

Kesemua kanak-kanak berkenaan lebih bersemangat apabila Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abd. Rahman turut sama membantu memilih pakaian untuk mereka dengan memperuntukkan kira-kira RM300 seorang.

“Program ini merupakan aktiviti tahunan Yayasan Pekema sejak dahulu, cuma sebelum ini kita hanya mengadakan majlis berbuka puasa.

“Selepas menerima cadangan daripada ahli jawatankuasa dari beberapa negeri, kami berpendapat adalah lebih baik berkongsi keuntungan Pekema dengan menyediakan kelengkapan raya mereka pula tahun ini,”
katanya.

Tiga buah badan kebajikan tersebut adalah Pusat Jagaan Amal Asyura, Sungai Buloh; Sekolah Tahfiz Anak Yatim Alkitab, Beranang dan Rumah Amal Anak Yatim Darul Ehsan Malaysia, Banting.

Selain tiga badan kebajikan tersebut, Yayasan Pekema turut mengadakan aktiviti yang sama sepanjang Ramadan ini di beberapa negeri lain iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Menurut pengasas Sekolah Tahfiz Anak Yatim Alkitab, Asmadi Adnan, beliau berterima kasih dengan Yayasan Pekema kerana sedia berkongsi kebahagiaan dengan 17 pelajarnya.

Alhamdulillah, bantuan ini sedikit sebanyak dapat membahagiakan pelajarpelajar saya untuk menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria,” katanya.

Sementara itu, guru di Pusat Jagaan Amal Asyura, Siti Aisyah Yob, usaha Yayasan Pekema itu sangat dihargai kerana prihatin dengan rumah-rumah amal di kawasan luar bandar.

“Ini merupakan pertama kali kami menerima bantuan daripada Yayasan Pekema, sebelum ini hanya rangkaian poliklinik yang sering membantu menyediakan kelengkapan raya seperti kuihmuih dan juadah berbuka puasa,” katanya.

Petugas di Rumah Amal Anak Yatim Darul Ehsan Malaysia, Shazlyn Shaziera Baharudin memberitahu, pihaknya seronok melayan anak-anak yatim yang berusia antara tiga tahun hingga 17 tahun memilih pakaian raya pada hari tersebut.