Nor Fatin Umairah, 14, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Said, Sungai Dua di sini, akur apabila bapa tirinya, Faizal Ramli terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa bulan lepas dan terlantar sakit di rumah serta perlu menjalani pembedahan susulan Ogos nanti.

Sejak kejadian itu, katanya, tugas mencari nafkah untuknya bersama lima adik kini dipikul ibunya, Noraini Wahab yang mengambil upah sebagai pengasuh kanak-kanak di Sungai Dua.

Begitupun, selepas dimaklumkan gurunya, Zarifah Omar, dia merupakan salah seorang daripada 20 pelajar sekolah berkenaan yang terpilih untuk menerima bantuan raya daripada Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), riak wajah remaja berkenaan berubah ceria.

Baru-baru ini, Nor Fatin Umairah bersama 19 rakan sekolahnya serta 45 pelajar lain dari Madrasah Murad Ad Diniyyiah; Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Ijtimaiah dan Sekolah Kebangsaan Tan Sri P.Ramlee dibawa ke Pasar Raya Mydin di Jalan Baru, Perai di sini untuk membeli baju raya pilihan sendiri.

Katanya, dia gembira kerana berpeluang meraikan Aidilfitri bersama baju kurung dan kasut baharu dan berharap sambutan raya kali ini lebih bermakna.

“Terima kasih kepada Pekema dan pihak sekolah yang memilih saya untuk program ini.

“Walaupun masih bersedih kerana mengenangkan ayah sakit dan keluarga yang susah apabila ibu terpaksa bekerja keras untuk kami, bantuan hari ini mengurangkan beban saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Pekema memberi peluang kepada pelajar berkenaan memilih sendiri baju dan kasut raya dengan setiap seorang diperuntukkan sebanyak RM200.

Majlis berkenaan turut dihadiri Presiden Pekeman Riders Club, Datuk SM Zulkidli SM Amin dan Setiausaha Kehormat Pekema, Datuk Nadzir Sheikh Fazir.

Sementara itu, Zarifah yang juga Penolong Kanan Pentadbiran SMK Datuk Haji Ahmad Said berkata, pihaknya gembira kerana usaha yang digerakkan Yasan Pekema membantu memberi kecerian kepada pelajar-pelajarnya.

“Selepas dimaklumkan kami terpilih untuk program ini, saya mengarahkan beberapa guru untuk mencari pelajar-pelajar yang sangat memerlukan bantuan dan antaranya termasuk anak yatim dan keluarga miskin," katanya.

Dalam pada itu, SM Zulkifli berkata, program anjuran Yayasan Pekema Wilayah Utara berkenaan itu bertujuan memberi keceriaan kepada pelajar sekolah yang kurang bernasib baik terutama daripada keluarga miskin dan anak yatim untuk turut serta menyambut Aidilfitri.

“Kita telah bekerjasama dengan beberapa sekolah di negeri ini dan seluruh negara dengan meminta pihak sekolah mengenal pasti pelajar yang perlu diberi bantuan.

“Ini merupakan sebahagian tanggungjawab sosial Pekema kepada masyarakat yang memerlukan bantuan," katanya.

SM Zulkifli berkata, sebelum ini program bantuan berkenaan telah diadakan di Selangor, Sabah, Sarawak dan akan ke Kelantan selepas ini.

Menurut beliau, secara keseluruhan, pihaknya memperuntuk sebanyak RM500,000 bagi menjayakan program itu di seluruh negara termasuk program mendekati golongan gelandangan di ibu kota.