Itu belum lagi terpaksa berdepan dengan kenderaan rosak di tengah-tengah hutan. Ia adalah antara cabaran dilalui peserta sepanjang penganjuran program Cabaran Borneo Safari Antarabangsa 2018 (Borneo Safari).

Meskipun begitu, Borneo Safari bukan sahaja menjadi buruan semua penggemar sukan permotoran dari seluruh negara, bahkan penantiannya dianggap sebagai suatu nikmat.

Berikutan itu, Borneo Safari yang diadakan sejak 28 tahun lalu disifatkan bukan sekadar sukan lasak biasa, malah mempunyai kelas tersendiri dan bertaraf antarabangsa.

Adalah menjadi penantian semua penggemar sukan lasak tersebut untuk menyertai acara yang disifatkan sukan lasak terbaik dunia itu hampir setiap tahun.

Apa tidaknya, program bermula sejak 1990 itu menyaksikan pertambahan penyertaan negara luar menjadikan kesemuanya lapan negara iaitu Jepun, Indonesia, Ireland, Rusia, Filipina, Vietnam, Brunei termasuk Malaysia menyertainya.

Pengarah program, Faez Nordin berkata, penganjuran program yang diadakan selama lapan hari pada Oktober lalu disertai seramai 1,030 peserta dari dalam dan luar negara melibatkan 399 pacuan empat roda.

Katanya, program itu turut menjadi ‘kegilaan’ peminat sukan permotoran yang mahu menguji ketangkasan dan kehebatan pacuan empat roda masing-masing kerana acara itu dianggap sebagai ekspedisi ‘offroad’ terbaik antarabangsa.

“Pada musim ini, kita memilih empat daerah dengan melalui jalan-jalan balak sejauh 400 kilometer yang dipercayai ditinggalkan sejak beberapa tahun lalu.

“Jalan-jalan yang dipilih juga mempunyai 27 halangan utama seperti meredah sungai, berbatu, bukit curam dan berlumpur,” katanya ketika ditemui S2 di sini, baru-baru ini.

Faez memberitahu, Borneo Safari telah meneroka hampir kesemua daerah di negeri ini yang mempunyai laluan ‘offroad’ atau jalan balak yang ditinggalkan lebih lima tahun.

“Program ini mengambil masa lapan hari dengan menggunakan jalan hutan simpan meliputi empat daerah iaitu Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran dan Kota Kinabalu.

“Laluan dalam Borneo Safari juga terbahagi kepada laluan biasa, sederhana dan mencabar,” katanya.

Sementara itu seorang peserta, Fedelia Api, 31, memberitahu, peluang menyertai Borneo Safari menjadi pengalaman paling bermakna dan tidak mungkin dilupakan.

“Saya tidak pernah menyertai sebarang aktiviti lasak sebelum ini dan selepas merasai sendiri pengalaman ini, saya teruja kerana banyak perkara baru dipelajari.

“Tidak mudah buat mereka yang mahu menyertai Borneo Safari kerana memerlukan kekuatan fizikal dan mental khususnya ketika melalui kawasan punca air atau sungai,” ujarnya.

Turut berkongsi rasa, Nadia Abdullah, 37, asal Sarawak yang menzahirkan rasa puas hati dan bertekad untuk menyertainya lagi jika diberi peluang.

“Pertama kali menyertai program ini tidak cukup buat saya pelajari pengalaman-pengalaman selama lapan hari di hutan. Saya akan sertai lagi pada tahun depan jika ada peluang,” jelasnya.

Terdahulu, pelepasan program tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew di pekarangan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) di Kota Kinabalu.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. (IMSB), Koji Nakamura dan Ketua Pegawai Operasi IMSB, Masayuki Suzuki.

Christina berkata, penganjuran program berkenaan juga secara tidak langsung dapat membantu usaha mempromosi Sabah sebagai destinasi pelancongan selamat untuk dikunjungi.

“Program ini diharap dapat membantu Lembaga Pelancongan Sabah mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pengembaraan yang mencabar khususnya untuk aktiviti lasak.

“Saya percaya program ini mampu menarik lebih ramai pelancong dari seluruh negara untuk berkunjung ke negeri ini memandangkan sebelum ini ada dakwaan Sabah adalah negeri yang tidak selamat,” jelasnya. Video cabaran sukan ini yang disediakan wartawan Lasak & Santai boleh ditonton di utusan.com.my.