Hakikatnya, kematian lelaki kerana kanser ini adalah lebih tinggi berbanding kematian wanita disebabkan kanser payudara.

Walaupun angka (kematian) meningkat, kesedaran masyarakat terutamanya dalam kalangan kaum lelaki di Malaysia berkaitan kanser ini adalah rendah.

Pelbagai inisiatif membangkitkan kesedaran dilaksanakan tetapi usaha itu bagai mencurah air atas daun keladi apabila masih ramai lelaki di luar sana yang tidak menyedari tentang risiko kanser prostat.

Kerana itu, usaha-usaha untuk membawa kesedaran menerusi pelbagai cara dan platform kepada masyarakat tetap diteruskan.

Penggemar sukan permotoran pastinya sinonim dengan acara Distinguished Gentlemen Ride (DGR) yang diadakan setiap tahun, sejak enam tahun yang lalu.

Program yang cukup unik ini mengumpulkan peminat-peminat motosikal vintaj secara besar-besaran untuk satu tujuan, mempromosikan kesedaran tentang kanser prostat.

DGR bermula sejak 2013 di Australia dan diasaskan oleh Mark Hawa. Peminat motosikal vintaj itu memulakan satu gerakan secara besar-besaran untuk menyebar kesedaran tentang kesihatan lelaki, khususnya berkaitan kanser tersebut.

Oleh kerana jumlah peminat motosikal ramai, Hawa gunakan hobi permotoran sebagai platform untuk sebarkan maklumat-maklumat penting yang berkait rapat dengan penyakit itu.

Menerusi acara ini, peminat-peminat motosikal vintaj, vespa dan skuter berkumpul beramai-ramai dengan berpenampilan segak dan maskulin melakukan pelbagai aktiviti seperti berkonvoi dan sebagainya.

Bermula tahun kedua penganjuran sekitar 2014, DGR berkembang ke tempat-tempat lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Perancis dan banyak lagi.

DGR mula dianjurkan di Malaysia pada tahun yang sama dan sehingga kini, acara ini terus dilaksanakan
 di beberapa lokasi di seluruh 
negara.

peRMOTORAN

Tahun ini, DGR dilaksanakan di Kuala Lumpur, lebih tepat lagi di Dataran Merdeka dengan kehadiran 700 peserta keseluruhannya.

Urusan penganjuran acara permotoran berskala besar itu pada tahun ini diambil alih Tiga Moto Sdn. Bhd. bersama penaja, Triumph Motorcycles Malaysia dan Zenith Watches Malaysia.

Pengasas bersama Tiga Moto Sdn. Bhd, Ashraf Salahuddin ketika ditemui wartawan S2 berkata, berbeza dengan penganjuran pada tahun-tahun sebelumnya, DGR pada kali ini memberi tumpuan terhadap tujuan hakiki iaitu kesedaran terhadap kanser prostat dan kesihatan mental lelaki.

“Sebagai penganjur, kami terapkan lebih banyak pengisian bersifat kesedaran tentang kanser prostat dan kesihatan mental berbanding aktiviti konvoi.

“Disebabkan itu, selain konvoi sejauh lapan kilometer, DGR tahun ini turut diisi dengan aktiviti perkongsian ilmu dan dialog oleh pakar kesihatan berkaitan kanser prostat,” katanya.

Konvoi DGR 2018 di Kuala Lumpur memberi tumpuan kepada beberapa lokasi. Flag off bermula di Dataran Merdeka, melalui Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, KLCC, Pavilion, Bukit Bintang, Jalan Mahameru dan berakhir di Muzium Negara.

Ashraf berkata, penganjuran pada kali ini mencatat kejayaan besar apabila jumlah penyertaan meningkat berbanding 
tahun-tahun sebelumnya.

“Lebih membanggakan, DGR Kuala Lumpur 2018 seperti mencapai matlamat apabila sejumlah RM28,000 berjaya dikumpulkan. Sumbangan itu telah disalurkan terus kepada Prostate Cancer Research Foundation yang berpusat di Australia.

Selain di Kuala Lumpur, DGR 2018 turut dianjurkan di beberapa lokasi lain seluruh negara termasuk Melaka, Johor, Kuantan, Kuching dan Kota Kinabalu.

Jelas Ashraf, dia berharap acara ini dapat dianjurkan secara bersama dalam negara agar DGR menjadi lebih besar dan lebih meriah pada tahun hadapan.