Inilah faktor pendorong beliau dalam usia muda, beliau diberi kepercayaan oleh bapanya yang juga Pengerusi Eksekutif Superbike Motortrade International Sdn. Bhd. (SMI), Datuk SM Zulkifli SM Amin untuk menerajui syarikat pengimport motosikal baharu dan terpakai itu sebagai
Pengarah Eksekutif Kumpulan.

Beliau bagaimanapun tidak terus bermula dari atas sebaliknya pernah bekerja sebagai jurujual kereta dan pengurus akaun sebelum menerajui syarikat motosikal berkuasa besar ini.

Bersandarkan pengalaman itu dan tunjuk ajar bapanya yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang automotif, beliau dengan caranya tersendiri melayari bahtera syarikat walaupun ada ketikanya dipukul ombak dan badai.

DUA peneraju SMI, Dr. Suhaimi Abdul Jalil dan SM Zul Khalis SM Zulkifli bersama dua motosikal besar
DUA peneraju SMI, Dr. Suhaimi Abdul Jalil dan SM Zul Khalis SM Zulkifli bersama dua motosikal besar

Menceritakan semula perjalanan SMI, SM Zul Khalis berkata, syarikat itu ditubuhkan pada 2012 apabila kerajaan mula mengeluarkan permit import (AP)
untuk motosikal.

Dengan AP berjumlah 250 unit setahun yang dianugerahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, SMI mengimport beberapa jenama terkenal motosikal berkuasa tinggi seperti Harley-Davidson, Ducati, Moto Guzzi dan Yamaha.

Perniagaan syarikat itu kemudian dikembangkan lagi dengan menjadi pengedar sah kepada motosikal jenama Vespa dan KTM Motorsport sebelum meneroka pasaran jualan kereta sebagai pengedar sah kenderaan utiliti sukan (SUV) mampu milik dari China iaitu Haval.

Menurut SM Zul Khalis, SMI kini telah mencapai tahap membanggakan lebih-lebih lagi dengan kewujudan premis perniagaannya sendiri di Ara Damansara, Petaling Jaya dengan menawarkan perkhidmatan 3S iaitu pusat jualan, servis dan alat ganti.

“Selain bapa, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan kepada ibu saya, Datin Noor Azah Abd. Aziz yang selama ini banyak memberi dorongan.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggitinggi penghargaan kepada kerajaan kerana telah memberi peluang kepada golongan muda bumiputera seperti saya untuk menceburi bidang perniagaan dengan mewujudkan dasar AP terbuka ini,” katanya.

Mengenai cabaran yang dihadapi SMI, seorang lagi nakhodanya iaitu Pengarah Urusan, Dr. Suhaimi Abdul Jalil mengakui syarikat itu tidak lari daripada terkena tempias kelembapan ekonomi global dan kenaikan mata wang.

Bagaimanapun dengan pelbagai strategi yang dipasang termasuk menjaga hubungan baik dengan pelanggan-pelanggannya, SMI mampu bertahan dan bersaing sehingga kini.

“Selain jualan, servis selepas jualan sangat penting bagi memastikan pelanggan yang membeli motosikal dengan SMI datang semula ke syarikat ini untuk servis motosikal mereka dan mendapatkan alat ganti serta aksesori.

“Syarikat juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa buah syarikat waranti kenderaan bagi meningkatkan mutu servis selepas jualan kepada pelanggan,” katanya. Dr. Suhaimi yang juga merupakan pengasas bersama syarikat itu memberitahu pihaknya turut mengambil pendekatan mengadakan promosi secara aktif melalui media sosial.

“Kami juga sering mengadakan acara membabitkan pelanggan-pelanggan kami sebagai usaha untuk terus mendekatkan mereka dengan SMI seperti konvoi motosikal, hari keluarga dan sebagainya,” katanya.