Pada 1994, Suzana yang merupakan lulusan bioteknologi dari Universiti Sains Malaysia mengambil keputusan berani bersama Marof Khan untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan kenderaan. Mereka tidak memiliki dana manakala wang simpanan hanya sedikit.

Pekerjaan pertama mereka ialah sebagai broker kereta iaitu mereka akan diberi komisyen bagi setiap pelanggan yang diperkenalkan kepada sesebuah syarikat. Berbekalkan sedikit pengetahuan, Marof dan Suzana memulakan perniagaan menjual kereta terpakai di tepi jalan dekat Taman Kosas, Ampang.

"Kami bermula di bawah pokok ceri. Awak mungkin hanya dengar cerita orang, tetapi ia benar-benar berlaku kepada kami... di bawah pokok ceri.

"Kami bermula dengan satu kereta iaitu Proton Saga. Dan kami berjaya menjualnya. Ini memberi semangat kepada saya untuk terus mendalami perniagaan,’’ kata Suzana yang ketika itu masih was-was sama ada mahu berniaga sendiri atau mencari kerja dengan syarikat lain.

Kejayaan sulung itu kata Marof pula, memberi isyarat bahawa ada masa depan untuk mereka dalam industri kereta. "Tetapi hasil jualan itu kami tidak belanjakan sesuka hati, sebaliknya dijadikan modal pusingan.

"Kami amalkan dasar jimat cermat yang jitu. Bagi setiap RM10, kami hanya guna RM2 untuk hidup manakala RM8 dipusingkan ke dalam operasi niaga. Alhamdulillah, sehingga sekarang dasar ini sebati dalam cara kami mengendalikan perniagaan,’’ katanya.

Amalan tersebut ada hikmahnya. Semasa hendak mengembangkan perniagaan, mereka tidak mendapat sokongan bank. Ada memberi alasan `kuota sudah penuh’!

Satu lagi hikmah ialah baru tiga tahun berniaga, Marof dan Suzana merasai kesan daripada krisis kewangan Asia pada 1997. Jualan kenderaan merosot. Pelanggan tidak berani membeli. Bank-bank tidak sudi memberi pembiayaan.

Namun, nasihat yang diterima daripada rakan taulan dalam perniagaan mengatakan sektor automotif akan kembali pulih. Badai dan ombak semasa krisis kewangan itu ditanggung dengan sebaiknya.

Nasib menyebelahi mereka bila dianugerahkan hak menjadi pengedar kenderaan KIA pada tahun 2000, sebelum mencapai pengiktirafan selama 11 tahun sebagai pengedar terbaik bumiputera.

Ditanya mengenai rahsia kejayaan tersebut, Marof berkata, antara kunci utama seorang penjual ialah kemahiran berkomunikasi. Kelebihan beliau ialah mampu bertutur dalam pelbagai bahasa mengikut kesesuaian pelanggan.

"Keupayaan bertutur dalam bahasa ibunda pelanggan, bukan sahaja memudahkan mesej disampaikan tetapi juga menyemat keyakinan tentang diri kita sebagai peniaga berwibawa,’’ ujarnya.

Menyokong pendapat Marof tersebut, Suzana berkata, beliau mengamalkan komunikasi terus dengan pelanggan dan ini membina hubungan niaga yang kukuh kerana mereka menjadi pelanggan yang berulang.

Dari 'bawah pokok ceri’, Marof dan Suzana membangunkan Utama Motors di Jalan Ampang yang juga berperanan sebagai ibu pejabat, bilik pameran dan pusat servis.

Utama Motors juga telah membeli tanah di Jalan Ulu Klang untuk didirikan pusat 4S untuk kereta dan motosikal, yang kini hanya menanti kelulusan majlis perbandaran untuk meneruskan pembangunan.