ROZALI ISMAIL (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid pada majlis makan tengah
ROZALI ISMAIL (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid pada majlis makan tengah 

Konvoi kali ini yang dinamakan Program RBV#3 bermula dari G-Mart Subang menghala ke Simpang Renggam, Pontian, Johor. Konvoi singgah di Masjid Al-Falah, Batu 7 sebelum meneruskan perjalanan ke Kampung Serkat sejauh 361 kilometer. Keesokan harinya barulah peserta konvoi sampai ke Tanjung Piai iaitu tanah penghujung benua Asia sebelum bersurai.

Acara tahunan itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Selangor (JKJRS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Strom Rider.

Penaung Program RBV#3, Tan Sri Rozali Ismail berkata, seramai 15 anggota polis dan 28 anggota JPJ membantu mengawal pergerakan konvoi yang panjang memenuhi lebuh raya dan jalan raya sepanjang tempoh perjalanan.

“Intipati program adalah mendidik peserta mengenai aspek keselamatan. Dengan penyertaan yang sangat ramai, konvoi menjadi sangat panjang,” katanya sambil memberitahu peserta konvoi dihadkan menunggang motosikal 250 cc ke atas.

Penulis yang berpeluang mengikuti konvoi tersebut mendapati suasana di pekarangan G Mart Subang mula sibuk dengan kehadiran pelbagai jenis motosikal pada tarikh program diadakan, 17 November lalu. Ada peserta sampai awal untuk disusun dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Selesai taklimat keselamatan oleh wakil JPJ dan polis, peserta di barisan hadapan mula bersedia untuk memulakan perjalanan.

Rozali bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Shatiri Mansor merasmikan dan melepaskan peserta konvoi. Menurutnya peserta dilepaskan secara berkumpulan dan berperingkat bagi mengelak kesesakan jalan raya. Konvoi bergerak menuju ke lebuh raya Seremban. Semua kumpulan motosikal bergabung semasa perjalanan di lebuh raya menuju ke selatan.

SEORANG penunggang motosikal aksi lagak ngeri daripada kumpulan Strom Rider membuat lompatan ke atas
SEORANG penunggang motosikal aksi lagak ngeri daripada kumpulan Strom Rider membuat lompatan. 

Konvoi yang dikawal oleh polis dan JPJ itu menempuh lebuh raya dengan kelajuan yang sederhana sehingga kesemua motosikal yang terlibat bergabung. Selepas itu, kelajuan konvoi ditingkatkan sedikit demi sedikit menuju ke Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Ayer Keroh melibatkan sebanyak 70 motosikal lain tiba untuk bergabung dengan konvoi yang bergerak dari G Mart Subang.

Sementara menunggu, terdapat kalangan peserta mengisi minyak dan berehat sebentar. Dari situ, konvoi meneruskan perjalanan ke Hentian Pagoh untuk mengisi minyak dan berehat, sebelum bergabung dengan peserta baru melibatkan 50 motosikal lagi.

Hentian terakhir adalah di susur keluar Simpang Renggam melibatkan peserta dari selatan seramai 150 motosikal termasuk dari Singapura menunggu kami untuk bergabung. Kami kemudian meneruskan perjalanan ke Masjid Al-Falah untuk berehat dan makan tengah hari.

Kehadiran Tunku Omar Tunku Muhammad Archibald semasa jamuan tengah hari dengan menunggang motosikal Honda Goldwing bersama kumpulan motosikalnya memeriahkan lagi majlis pada petang itu.

Di masjid itu, peserta solat zuhur berjemaah. Kami turut dirai kariah masjid dengan jamuan makan tengah hari. Selepas itu, kesemua peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk misi kemasyarakatan membersihkan kawasan masjid, tanah perkuburan dan pusat jagaan Insan Emas Nur Hidayah yang terletak berhampiran.

Kira-kira pukul 4 petang, konvoi meneruskan perjalanan menuju ke Kampung Serkat, Pontian.

Kehadiran kami disambut meriah oleh penduduk kampung. Banyak gerai makanan dan jualan dibuka bagi memeriahkan suasana.

Selain makan dan minum dan beramah mesra dengan penduduk, satu pertunjukan motor aksi lagak negeri (stunt) dari Strom Rider diadakan. Pertunjukan tersebut memperlihatkan kepakaran tiga penunggang motosikal melakukan aksi willie dan melompat tinggi melepasi jarak tujuh orang yang mencangkung dalam satu barisan.

Selepas pertunjukan, peserta diberi kunci penginapan di inap desa mengikut kumpulan masing-masing.

Pada malamnya, majlis makan malam diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Penghulu Mukim Serkat. Kesemua peserta diraikan dalam program penuh meriah. Kami dihiburkan dengan persembahan Atok Blank daripada kumpulan Gamma yang menyampaikan beberapa buah lagu.

Selain itu, sesi cabutan bertuah dan penyampaian anugerah Ikon Bikers menjadi tarikan pada malam itu.

Wak Muji atau nama sebenarnya, Kamuji Partikon, 57, dari Parit Jayus, Batu Pahat diumum sebagai pemenang anugerah Ikon Bikers. Dia amat meminati dunia pemotoran sehingga mampu mempunyai koleksi kereta dan motosikal yang jumlahnya mencecah 100 buah daripada pelbagai jenama antaranya Norton, Triumph, BSA dan Harley Davidson.

Lebih 30 tahun terlibat dalam dunia pemotoran, Wak Muji mempunyai kelabnya sendiri iaitu Kelab Wak Muji Motorcycle Classic Club & Amp, Amp, Big Gang Bikers dan penganjuran Wak Muji Bike Week.

Kelabnya juga telah berjaya mencatatkan sejarah dalam Malaysia Book of Records dengan mengumpulkan bikers dalam acara konvoi motosikal terpanjang sejauh 7.5 kilometer. Dianggarkan lebih daripada 1,000 buah motosikal terlibat dalam acara itu. Wak Muji juga merupakan Timbalan Presiden Kelab Sedulur Mutu Gedhi Malaysia.

PESERTA konvoi mengisi minyak di salah satu hentian menuju ke selatan.
PESERTA konvoi mengisi minyak di salah satu hentian menuju ke selatan. 

Empat sekeluarga minat motosikal

Pengerusi Jawatankuasa RBV#03, Mohd Rosli Ismail, berkata, kali ini sambutan adalah di luar jangkaan kerana secara keseluruhannya, penyertaan mencecah hampir 700 buah motosikal dari perbagai kelab pemotoran seluruh negara.

Menurutnya, ride bersekutu ini merupakan program yang dianjurkan bersama melibatkan penyertaan kelab-kelab dari sekitar Lembah Kelang, Utara, Selatan dan Timur Semenanjung Malaysia di bawah naungan Kelab Sedulur Mutu Gedhi, iaitu sebuah kelab yang berdaftar.

“Ahli jawatankuasa pengelola pula terdiri daripada wakil-wakil kelab yang telah dipilih secara undian semasa majlis pelancaran dan pemilihan AJK (ahli jawatankuasa),” katanya.

Bagi Zainuddin Redon,52, dari Segamat, Johor, konvoi itu adalah satu peluang baik baginya untuk bermotosikal bersama keluarga. Sejak anak lelaki beliau, Zafrol Ikhmal,23, mula bekerja, dia sering berkonvoi bersama.

“Saya menunggang bersama isteri, Norhashimah Amin Shah,50. Zafrol pula menunggang bersama adiknya, Noorul Akhila,18.

Daripada empat orang anak, dua orang sahaja yang meminati aktiviti permotoran dan sering mengikut saya berkonvoi sejak mereka mempunyai lesen sendiri,” katanya.

Dari Segamat, katanya, mereka bergerak menuju ke Hentian Pagoh untuk bergabung dengan peserta konvoi yang lain. Kemudian, perjalanan diteruskan menuju ke susur keluar Simpang Rengam.

“Kami seronok dapat melakukan aktiviti kemasyarakatan di Masjid Al Falah. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kariah di masjid ini kerana menerima kami yang ramai ini dengan baik,”tambahnya.

KELUARGA motor... (dari kiri) Zainuddin Redon, Norhashimah Amin Shah, Noorul Akhila dan Zafrol Ikhm
KELUARGA motor... (dari kiri) Zainuddin Redon, Norhashimah Amin Shah, Noorul Akhila dan Zafrol Ikhm.

Menurut Zaijnuddin, dia lebih meminati motosikal ‘retro’ dan kini memiliki dua buah motosikal Suzuki GSX 1000 dan sebuah TZM150.

“Kami ride anak beranak ini, sudah dua tahun. Setakat ini, kami sudah menjelajah ke Johor, Kelantan, Kuantan dan Melaka,” jelasnya lagi.

Keesokannya, sebelum meninggalkan Kampung Serkat, peserta konvoi singgah di Tanjung Piai untuk bergambar. Disebebkan pagi itu hujan, maka tidak banyak aktiviti boleh dilakukan di situ. Selesai bergambar, peserta konvoi bersurai untuk balik ke destinasi masing masing.