Sokongan itu ditunjukkan menerusi sambutan yang diberikan kepada Mohd.Adib di Pulau Pinang. Malah, kedua-dua kelab tersebut turut mengiringinya pada acara pelepasan aktiviti kembara solo di pulau itu baru-baru ini.

Bermula dengan berkumpul dan berkonvoi di Jambatan Pulau Pinang, sebanyak 44 buah motosikal bergerak ke St. Nicholas Home bagi memeriahkan acara pelepasan kembara solo Mohd. Adib.

Presiden NVOG, Fazrul Syahril berkata, cuti umum sempena Maulidur Rasul pada 20 November lalu menjadi tarikh pilihan bagi mengadakan aktiviti kembara dan majlis pelepasan misi anak muda itu.

Sebelum tiba di St.Nicholas Home, konvoi sempat mengelilingi bandar Georgetown sejauh enam kilometer sebagai salah satu aktiviti sempena cuti umum di Pulau Pinang.

Mereka kemudian bergerak ke lokasi majlis pelepasan aktiviti kembara solo Mohd. Adib. Pengerusi Eksekutif St. Nicholas Home, Danial Soon menyempurnakan majlis berkenaan dalam suasana penuh kemeriahan.

Sebaik sahaja selesai majlis pelepasan, Mohd. Adib memulakan kembara solo dengan menunggang motosikal Yamaha FZ150i. Dia memulakan perjalanan dengan membawa segala peralatan dan kelengkapan untuk kegunaannya sepanjang misi tersebut.