Presiden PRC, Datuk SM Zulkifli SM Amin berkata, program Reunion Ride ke Kota Bharu kali ini telah disertai oleh kira-kira 14 kelab permotoran berkuasa tinggi dari seluruh negara.

“Setiap kali kita melaksanakan program, kita akan terapkan sedikit kelainan daripada segi aktiviti untuk setiap ahli.

“Bagaimanapun objektif program tersebut tetap sama iaitu mengumpulkan semua wakil kelab untuk sama-sama berkonvoi bagi mengeratkan hubungan.

“Menerusi konvoi ini, setiap daripada mereka akan dapat berkongsi ilmu mengenai permotoran serta perniagaan automotif,” katanya ketika ditemui Pekema Auto & Industri di sebuah hotel di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Turut menyertai program tersebut ialah Timbalan Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Wan Zaid Wan Abdullah dan Setiausaha Kehormatnya, Datuk Nadzir Sheikh Fadzir.

Dalam pada itu, SM Zulkifli berkata, PRC juga sentiasa melaksanakan aktiviti yang mampu memberi gambaran positif masyarakat terhadap golongan penunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Kita cuba untuk tunjukkan kepada masyarakat bahawa pengguna motosikal ini bukan semuanya gangster atau mat rempit. Malah kita telah laksanakan pelbagai usaha untuk membantu masyarakat.

“Tambahan lagi, kebanyakkan ahli PRC serta kelab-kelab motosikal lain adalah terdiri daripada golongan profesional serta berjawatan tinggi dalam bidang masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Wan Zaid berkata, sempena Reunion Ride ke Kota Bharu, Yayasan Pekema telah menyampaikan sumbangan kepada 40 keluarga yang kurang berkemampuan.

“Kita bukan hanya berkonvoi semata-mata, malah setiap kali program diadakan, kita tidak pernah melupakan golongan yang tidak bernasib baik.

“Kali ini, kita telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM500 kepada setiap penerima yang dipilih dengan usaha sama Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia, Datuk Bi’ Samiha Mohd. Salleh,” katanya.

Tambah Wan Zaid, Yayasan Pekema akan memperuntukkan sebanyak RM3 juta setiap tahun untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negara.

“Wang ini adalah hasil daripada sumbangan ahli Pekema di seluruh negara yang setakat ini sudah mencapai 290 orang,” katanya.