Kenapa penulis mahu me­ngujinya? Sebenarnya ia adalah model yang paling lawa dalam kelasnya. Cuba anda bandingkan dengan model yang sama dari Jerman atau Jepun, sudah tentu Peugeot 3008 inilah yang paling comel, cun dan cantik.

Kenapa penulis kata ia cantik? Lihat sahaja fizikalnya. Reka bentuknya walaupun ada sedikit unsur bersegi dan berkotak, tetapi setiap sudutnya diberi sentuhan keinsanan. Lihat sahaja lampu utamanya. Ia seperti bertaring dengan dihiasi jalur lampu nyalaan siang (drl) memanjang sehinggakan ke garis bukaan bonet.

Jeriji yang mengapit lampu utama pula adalah satu garisan putus-putus berkrom perak yang kelihatan timbul. Bamparnya pula tidak dibiarkan kosong (seperti sesetengah model) dan dihiasi lampu kabus kecil yang kelilingi dengan garis berwarna perak. Terdapat hiasan skirting pada tengah bampar utama. Hiasan pada bampar menghasilkan dua tona warna yang memukau.

Pada sisinya pula, jentera ini dihiasi jalur memanjang dari roda hadapan ke roda belakang dan tambahan skirt yang agak besar. Dari pandangan sisi pula, jentera ini nampak tegap dan kukuh. Bingkai cermin dihitam­kan dan memanjang tirus ke belakang sehingga ke lampu belakang. Lampunya pula berkotak tiga seperti cakaran helang, katanya.

Tetapi yang paling menarik ialah kemasan dalamannya. Peugeot 3008 ini menawarkan Peugeot i-Cockpit®. Kenapa i-Cockpit? Kerana sesetengah butang kawalan pemanduan seperti dalam pesawat. Panel meternya pula agak kecil yang menawarkan paparan Personal. Dials dan Minimal. Roda stereng pun agak kecil. Ini sudah seperti gaya sebuah kereta dan bukannya kenderaan utiliti sukan (SUV).

Papan pemukanya juga agak unik. Menawarkan gabungan fabrik dan plastik. Rekaannya lari daripada gaya konvensio­nal. Mungkin kerana Perancis terkenal dengan industri fe­­­s­yen, maka Peugeot 3008 pun mahu diberi sentuhan dengan elemen tersebut.

Tombol gear paling radikal dengan reka bentuk seperti kayu ria (joy stick) Janggal juga buat pertama kali menggunakannya. Di tengah-tengahnya ialah compartment mengisi barang dan ia sejuk. Tidak ba­nyak kenderaan mewah yang memiliki fungsi itu.

Enjinnya ialah 1.6 liter turbo skrol kembar tekanan tinggi (Twin Scroll Turbo High Pressure) THP. ia menghasilkan kuasa maksimum 165hp dan kuasa kilasnya ialah 240Nm. Ia dige­rakkan oleh transmisi 6 kelajuan Quickshift.

Kadar pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) ialah 8.9 saat dengan kelajuan maksimum 206 km/j.

Di mana penulis mengujinya? Kali ini penulis menuju ke nege­ri Pantai Timur iaitu Kelantan. laluan adalah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan turun ke Bentong sebelum melalui Gua Musang sehingga terus ke Kota Bahru.

Di lebuh raya itu penulis membelasah jentera tersebut tetapi tidak sampai ke tahap maksimum. Setakat 160 km/j masih dalam kawalan walaupun ada terasa beroleng. Penggunaan tayar 18 inci Los Angeles bersama set tayar Continental 225/55 sedikit sebanyak membantu mencengkam ketika membelok dan memecut.

Transmisi 6 kelajuan juga banyak membantu dengan paddle shift pada stereng memudahkan kawalan untuk menukar gear. Walaupun penukaran gear lewat beberapa milisaat, namun ia tidak menjejaskan keseronokan memecut dan menurunkan gear rendah ketika mengambil selekoh.

Aspek keselamatan pasif dan aktif seperti 6 beg udara, Sistem Brek Antikeunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Daki Mula (HSA), Program Stabiliti Elektronik (ESP), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Kawalan Stabiliti Dinamik (DSC) dan ISOFIX nyata memberi keyakinan untuk mengharungi apa sahaja rintangan dan godaan untuk memecut.

Sistem audio processor Arkamys 3D Sound Staging turut memberi mood untuk memecut. Apa barang jika mende­ngar lagu rock tapi memandu seperti siput! Kedapan bunyi yang bagus tidak menggusarkan untuk memecut. Tidak perlu bimbang dengan deruan angin yang berpusu-pusu mahu memasuki kabin.

Tidak cukup dengan itu, Peugeot 3008 yang diuji ini dihadirkan dengan lampu ambien biru yang lembut pada sisi panel pintu dan papan pemuka. Boleh kalah SUV sejenisnya dari Jerman dan Jepun.

Dengan ciri-ciri tersebut, tidak mustahil Peugeot 3008 ini adalah SUV Tahunan Terbaik (Car of the Year) pada Pameran Motor Antarabangsa Geneva (GIMS) 2017. Jadi, bolehlah menabung dari sekarang.

Peugeot 3008

Enjin: 
1.6L Twin Scroll Turbo High Pressure (THP)

Kuasa maksimum: 
167PS @ 6,000rpm

Kilas maksimum: 
240Nm @ 1,400 rpm

Transmisi: 
6 kelajuan automatik 
Quickshift 53 Liter

Pecutan 0-100km/j:
 8.9 saat

Kelajuan 
maksimum: 
206 km/j

Penggunaan 
minyak:
 7.0/100 km

Harga: 
RM154,888
 (tidak termasuk 
insurans)