Lihat sahaja reka bentuk badannya, ia memberikan gambaran mengenai keunggulannya di jalan raya.

Namun, bukan senang untuk mengumpulkan puluhan penunggang motosikal apatah lagi pemilik jentera berkuasa tinggi itu.

Apa yang dilakukan oleh pencinta motosikal Ducati Panigale, Khairul Anuar Abd Karim, 35, menunjukkan komitmennya apabila menganjurkan aktiviti yang dapat mengumpulkan semua penunggang dari seluruh negara. Ia bukan sahaja dapat menyatukan mereka, malah memberikan kepuasan kerana dapat berkongsi minat yang sama.

Menurutnya, setiap tahun akan diadakan satu acara iaitu perhimpunan besar-besaran (Mega Gathering) bertujuan menyatukan ahli-ahli Panigale Kingdom, kelab pemilik motosikal berkenaan.

“Paling menyeronokkan adalah aktiviti menunggang motosikal.

“Kelab ini satu-satunya dalam dunia yang mengkhususkan keahlian kepada pemilik satu jenis motosikal Ducati sahaja. Umumnya, kebanyakan kelab di dunia menggabungkan semua jenis motosikal Ducati dalam satu aktiviti berkumpulan,” katanya.

Pada tahun ini, Gold Coast Morib International Resort di Banting, Selangor menjadi pilihan untuk Panigale Kingdom menamatkan aksi setelah berkonvoi beramai-ramai dari Putrajaya.

Program yang dianjurkan buat kali ketiga ini melibatkan aktiviti kekeluargaan kerana ahli kelab turut membawa ahli keluarga bersama.

Seramai 50 orang daripada 250 orang ahli kelab menyertai aktiviti yang dianjurkan baru-baru ini.

Ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada pasangan mengenai minat dalam dunia permotoran oleh penggemar motosikal lasak ini.

“Sepanjang program ini kami lebih memfokuskan kepada aktiviti riadah dan sukaneka bagi memupuk sifat kerjasama dalam ahli kumpulan.

“Aktiviti kemuncak semasa Mega Gathering ini peserta disajikan dengan makan malam berbeku di samping diselitkan aktiviti cabutan bertuah,” katanya.

Tambahnya, selain aktiviti permainan yang menyeronokkan itu, Ducati Malaysia dengan kerjasama Ducati Owners Malaysia Club (DOCM), Ducati Malaysia (DCM) dan Madani Bikes (Ducati Kuala Lumpur) telah membuat kejutan kepada peminat motor Ducati Panigale.

“Panigale v4 dan edisi akhir Ducati 1299 Panigale R telah diperkenalkan untuk pratonton kepada mereka yang hadir,” katanya.

Khairul Anuar memberitahu, Ducati membentuk gaya hidup orang muda pada masa kini dengan pelbagai koleksi barangan jenama sama daripada baju, topi, kasut, aksesori hinggalah kepada pemilihan pelbagai jenis motosikal.

“Begitu juga saya yang bermula dengan membeli koleksi baju Ducati. Saya memasang cita-cita untuk memiliki motosikal jenama Ducati seperti hari ini.

“Minat yang mendalam terhadap motosikal ini akhirnya menguatkan usaha saya dan kini berjaya memilikinya,” katanya.

Khairul Anuar yang sudah enam tahun menunggang motosikal Ducati Panigale turut berpendapat yang anggapan bahawa motosikal Ducati mahal dan tidak mampu dimiliki adalah salah.

“Setakat ini tiada lagi masalah mengenai kos penyelenggaraan yang tinggi. Ia sama sahaja seperti memiliki sebuah kereta yang juga memerlukan kos untuk diselenggara.

“Stigma masyarakat perlu diubah, semua orang mampu memilikinya sekiranya mempunyai azam yang tinggi ke arah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Anuar memberitahu, acara tahunan tersebut dijangka diadakan di Melaka pada tahun hadapan kerana peningkatan bilangan pemilik motosikal tersebut dari selatan seperti Johor.

“Kebiasaannya mereka akan datang ke Kuala Lumpur, jadi kali ini bagi memudahkan mereka, Melaka dipilih sebagai destinasi berkumpul yang seterusnya,” ujarnya.

Kelab pertama Ducati satukan pemilik

Panigale Kingdom bukanlah nama yang asing bagi penggemar motosikal keluaran Ducati dalam mengumpulkan pemilik-pemilik jentera itu dari seluruh negara.

Kelab yang ditubuhkan dengan inisiatif Khairul Anuar Abd Karim bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan kerja keras sebelum menjadi sebuah kelab yang benar-benar kukuh dan dikenali seperti sekarang.

Panigale Kingdom yang ditubuhkan pada 2014 pada mulanya menghadapi pelbagai konflik dan perpecahan sebelum akhirnya berjaya disatukan semula pada 2016.

Menurut Khairul Anuar, semasa awal penubuhannya terdapat segelintir pemilik motosikal itu enggan menyertai dan memberikan sokongan kepada program dianjurkan, sebaliknya menganjurkan aktiviti sendiri dengan kumpulan masing-masing

“Perkara sebeginilah yang kita tidak inginkan dalam sesebuah kelab motosikal kerana boleh menyebabkan perpecahan berikutan tiada persefahaman.

“Malah, disebabkan hal ini, saya lebih berhati-hati mengambil ahli baru supaya perkara ini tidak berulang,” katanya.

Tambahnya, kelab berkenaan mempunyai keunikan yang tersendiri apabila menyatukan hanya pemilik Ducati Panigale.

“Seperti yang kita maklum, Ducati mempunyai pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi dan kelab lain di dunia menggabungkan kesemua jenis motosikal di bawah satu kelab yang sama.

“Namun, hanya di negara ini wujudnya kelab Ducati yang mengumpulkan pemilik-pemilik motosikal Panigale sahaja bagi berkongsi minat sama,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya individu yang ingin menyertai kelab ini akan menghantar pesanan ke Instagram atau Facebook kelab sebelum ditemuduga kerana kelab hanya inginkan individu yang betul-betul boleh memberikan komitmen.

“Kami tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dahulu ada ahli yang tidak memberikan komitmen dan akhir membawa perpecahan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Anuar turut memberitahu bahawa penubuhan kelab tersebut berjaya memupuk semangat setiakawan dalam kalangan ahli yang mempunyai minat yang sama.

“Semua pemilik Ducati Panigale akan menyertai konvoi-konvoi seperti Breakfast Ride yang dianjurkan setiap minggu bagi tujuan berkenalan terlebih dahulu.

“Ini kerana, kebanyakan ahli hanya berhubung menggunakan aplikasi WhatsApp dan menerusi aktiviti menunggang secara beramai-ramai setiap minggu. Inilah yang akan merapatkan hubungan mereka sebelum menyertai acara-acara yang lebih besar.

“Misalnya awal tahun ini, kami telah membuat konvoi ke Pulau Pinang bagi menyampaikan bantuan kewangan kepada sebuah maahad tahfiz.

“Meskipun aktiviti kebajikan dilakukan dengan menggunakan motosikal agak terhad kerana melibatkan keadaan cuaca dan kapasiti barang yang ingin disumbangkan, namun kami tetap berjaya merancang pelbagai aktiviti kebajikan,” katanya.