Program yang diberi nama Singgah Sahur `Feed The Homeless’ itu disertai kira-kira 160 sukarelawan dengan matlamat utama menyampaikan makanan kepada golongan gelandangan sebagai bekalan mereka untuk bersahur.

Antara lokasi yang dituju ialah di kaki lima sekitar Jalan Hang Lekiu dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan penglibatan kelab-kelab motosikal seperti Sedarah Motorcycle Club, Kepala Kuasa, Air Force Bikers Community, 2 Wheels Festival (2WF) dan Two Wheel Garage (TWG).

Menurut Pengerusi Pekema Riders Club (PRC), Datuk SM Zulkifli SM Amin, program itu merupakan kerja amal yang dilakukan secara bersama oleh semua pihak yang terlibat bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan Ramadan.

“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman yang telah meluluskan sejumlah peruntukan untuk program ini.

“Saya berharap usaha ini terud dirahmati dan diberkati Allah SWT dan semoga ianya menjadi amalan kita secara berterusan, bukan di bulan Ramadan sahaja,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pekema.

Sementara itu, Yang Dipertua DPMM Selangor, Mohd. Fadzli Mustafa berkata, gelandangan antara golongan yang perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi kanak-kanak yang masih tidak memahami tentang kehidupan sebenar.

“Dengan adanya program sebegini, ianya dapat memberi sedikit keceriaan di wajah mereka lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.

“Selain memberi makanan, kita juga menyampaikan sumbangan duit raya dan baju raya khususnya kepada kanak-kanak,” katanya.

Bagi Pengasas Kumpulan RichM5, Datuk Razlan Shah Ismail pula berkata, selain membuat kerja amal, program itu turut bertujuan untuk merapatkan silaturrahim antara pihak penganjur.

“Kita akan teruskan program sebegini dari semasa ke semasa dan berharap lebih banyak penyertaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta,” ujarnya.