Inilah luahan Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman yang bimbang pemegang AP sedia ada tidak mampu bersaing dengan pemegang AP francais tempatan yang menikmati banyak faedah sedia ada.

Beliau yang ditemui baru-baru ini memberitahu, dasar baharu itu tidak memperkasakan agenda ekonomi bumiputera dengan menyekat pemegang AP semasa untuk mengimport kereta dan motosikal dari negara ASEAN.

“Harga motosikal terpakai yang kami beli meliputi harga yang telah dikenakan duti import dan cukai selain kos pengangkutan dari negara ASEAN ke negara pengimport.

“Akibatnya, harga motosikal yang kami beli adalah hampir sama dengan harga motosikal baharu yang dikeluarkan di negara ASEAN. Begitu juga dengan kereta yang kami import dari United Kingdom (UK) dan Jepun tidak dapat bersaing dengan kereta baharu model serupa yang diimport dari negara ASEAN kerana harga.

“Duti import dan eksais yang dikenakan terhadap kenderaan import dari negara-negara luar ASEAN adalah jauh lebih tinggi berbanding di rantau ini,” katanya.

Zainuddin berkata, situasi itu jelas bertentangan dengan Dasar AP Terbuka yang bertujuan memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai untuk membeli kenderaan import pada harga yang kompetitif.

Katanya, perkara itu juga bertentangan dengan peluang sama-rata kepada usahawan bumiputera yang terlibat dalam sektor automotif sebagaimana bakal dihadapi oleh ahli-ahli Pekema yang merupakan pemegang AP terbuka.

“Dasar baharu itu tidak memberi peluang sama rata kepada usahawan bumiputera untuk terlibat dalam sektor automotif kerana pemegang francais dibenar pengimport dari negara ASEAN yang dutinya lebih rendah.

“Dasar itu juga menunjukkan ketidaksamarataan kerana pemegang AP francais tidak perlu membayar RM10,000 untuk satu AP. Sedangkan pemegang AP terbuka yang dikenakan yuran RM10,000 untuk satu AP tidak dibenarkan mengimport kenderaan dari negara ASEAN,” jelas beliau.

Berikutan itu, Zainuddin meminta supaya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mempertimbangkan beberapa perkara termasuklah membenarkan ahli Pekema mengimport kenderaan dari negara ASEAN.

Zainuddin juga meminta supaya dipertimbangkan penarikan balik pembayaran RM10,000 untuk satu unit AP terbuka, selain mendapat faedah duti import melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

"Jangan salah anggap, Pekema menyokong penuh tujuan Dasar Baharu AP Terbuka, tetapi kami merasakan wujud situasi tidak sama-rata berhubung beberapa perkara di dalamnya yang perlu diberikan perhatian,” ujar beliau.