Ditubuhkan sejak 35 tahun lalu oleh sekumpulan usahawan yang menjual kereta import terpakai, Pekema kini berada di kelasnya tersendiri apabila menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Namun di sebalik jasa dan baktinya kepada negara, masih ramai masyarakat yang tidak mengenali Pekema dan jika ada sekalipun, mereka hanya memandang Pekema dari satu sudut sahaja iaitu sebagai sebuah pertubuhan yang menaungi penjual-penjual kereta import terpakai.

Perkara itu diakui Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abd. Rahman bahawa kebanyakan masyarakat masih tidak menyedari persatuan itu sebenarnya merupakan lambang kejayaan golongan bumiputera khususnya dalam bidang pemasaran automotif.

Malah, Pekema juga merupakan lambang kejayaan kepada usaha kerajaan memperkenalkan Permit Import (AP) pada 1970 dengan matlamat merapatkan jurang ekonomi antara kaum selain meningkatkan pegangan golongan bumiputera terhadap 30 peratus kekayaan negara.

“Ahli-ahli Pekema bukan hanya menjual kereta import terpakai. Sebaliknya hasil keuntungan perniagaan melalui AP tersebut, mereka menceburi bidang-bidang perniagaan lain pula seperti hartanah, perhotelan, pembuatan dan sebagainya.

“Selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui cukai, hasil keuntungan perniagaan juga disalurkan kembali kepada masyarakat dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat CSR. Sehingga kini, lebih RM20 juta telah disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Menyedari hakikat perlu adanya wadah bagi mengurangkan jurang informasi antara Pekema dan masyarakat, persatuan itu baru-baru ini mengambil keputusan menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat akhbar Melayu berpengaruh, Kumpulan Utusan untuk menerbitkan sisipan Pekema Auto menerusi akhbar Utusan Malaysia.

Dalam majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Korporat Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur pada 2 Jun lalu, Zainuddin dengan timbalannya, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak bagi memeterai kerjasama tersebut.

Melalui usaha sama itu, Pekema Auto yang diterbitkan setiap Jumaat bakal menghidangkan pembaca mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan Pekema, profil-profil usahawannya serta perkara-perkara yang berbangkit khususnya dalam industri kereta import terpakai.

Menurut Zainuddin, selain turut menjadi medium untuk mempromosikan produk-produk yang dimiliki Pekema, Pekema Auto juga diharap menjadi saluran dalam menyampaikan suara ahli-ahli Pekema kepada kerajaan sebagai pembuat dasar dalam menjadikan industri kereta import terpakai sebagai antara industri penting buat negara.

Sementara itu, beliau berkata, pemilihan Kumpulan Utusan sebagai rakan strategik adalah kerana syarikat itu begitu sinonim dengan Pekema; iaitu kedua-duanya merupakan medan perjuangan bangsa Melayu dan bumiputera.

“Jika Utusan Malaysia menjadi tempat pergantungan orang Melayu, begitu juga dengan Pekema. Jika Utusan Malaysia menjadi suara kepada orang Melayu, begitu juga dengan Pekema. Dengan keserasian ini, saya berharap kerjasama yang dijalinkan bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, Noordin berkata, keputusan Pekema menjalin kerjasama strategik dengan Kumpulan Utusan merupakan langkah tepat kerana Utusan Malaysia memiliki bilangan pembaca yang mengatasi akhbar-akhbar lain dan perkara itu dibuktikan melalui laporan firma pengauditan, The Audit Bureau of Circulations Malaysia (ABC), baru-baru ini.

Menerusi Pekema Auto ujar beliau, ia diharap dapat mendekatkan lagi Pekema dengan masyarakat sekali gus mengembangkan lagi industri kereta import terpakai di negara ini.

“Pekema dilihat sebagai antara entiti yang melonjakkan aktiviti ekonomi negara. Maka menjadi tanggungjawab kami di Utusan Malaysia untuk meningkatkan lagi visibiliti Pekema yang menjadi kebanggaan orang Melayu dan bumiputera,” ujarnya.