Thousand Corners merupakan laluan berselekoh (1,864 selekoh) sejauh 274 kilometer bermula dari Taman Negara Doi Ithanon, Chiang Mai ke Mae Hong Son.

Laluan mencabar itu bukan setakat menjadi senarai wajib bagi pengembara bermotosikal, malah turut dianggap sebagai penanda aras bagi meletakkan mereka dalam kelompok yang telah melakukan suatu kembara ekstrem.

Baru-baru ini seramai 35 ahli Kelab Permotoran Northern Versys Owners Group (NVOG & Friends) berjaya menakluk laluan mencabar tersebut menerusi ekspedisi Tri-Adventure Ride 2018.

Menggunakan 25 motosikal berkuasa besar, kesemua mereka melengkapkan cabaran berkenaan dengan selamat walaupun berlaku insiden tidak dijangka.

Menceritakan semula detik-detik mendebarkan itu, Presiden NVOG & Friends, Ahmad Fazrul Shahril Tajuddeen berkata, motosikal yang ditunggang salah seorang peserta tergolek selepas cuba mengelak daripada dihempap motor penunggang lain yang tiba-tiba terbalik ketika cuba berhenti.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan serius yang berlaku. Perasaan gentar akibat kejadian itu ditebus dengan semangat tinggi untuk menawan puncak Doi Ithanon.

“Perjalanan ke Mae Hong Son cukup mencabar kerana memerlukan teknik tunggangan yang sempurna bagi melepasi selekoh-selekoh tajam.

“Tumpuan perlu diberikan selain menjarakkan sedikit motosikal antara satu sama lain bagi mengelak berlaku kemalangan dan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Dalam perjalanan melewati Thousand Corners, mereka dihidangkan dengan panorama indah terutama setiap kali tiba di kawasan tinggi.

Kesemua peserta ekspedisi berjaya tiba di garisan penamat The Winner Mae Hong Son pada pukul 4.15 petang selepas menempuh perjalanan hampir lima jam bermula dari Taman Negara Doi Ithanon.

Menurut Ahmad Fazrul Shahril, ekspedisi Tri-Adventure Ride 2018 bermula dari Pulau Pinang melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam sebelum memasuki Thailand.

Mereka terpaksa menempuh perjalanan selama empat hari sebelum tiba di Taman Negara Doi Ithanon bagi memulakan cabaran Thousand Corners.

Sepanjang perjalanan itu, peserta ekspedisi turut diuji dengan pelbagai cabaran antaranya hujan lebat ketika perjalanan ke Sadao dan cuaca panas terik ketika perjalanan menuju Cha Am, Ayyuthaya.

“Kami juga berdepan kesukaran untuk mendapatkan makanan halal terutama apabila sudah melepasi Phachuap Khiri Khan.

“Jika ada restoran halal pun, kebanyakannya tutup awal walaupun kami tiba di setiap lokasi pada lewat petang. Sebagai alternatif, kami membeli makanan halal di kedai serbaneka untuk mengisi perut,” katanya.

Perjalanan pulang ke tanah air dari Mae Hong Son pula mengambil masa selama enam hari melalui Pai, Phitsanulok, Lopburi, Hua Hin dan Hat Yai sebelum tiba di Pulau Pinang dan pulang ke kediaman masing-masing.

Keseluruhan ekspedisi Tri-Adventure Ride 2018 memakan masa selama 11 hari meliputi jarak keseluruhan 4,800 kilometer.

“Pengalaman pengembaraan Tri-Adventure Rides 2018 amat menarik dan kami bersyukur kerana dihindari daripada musibah berat sepanjang perjalanan.

“Jutaan terima kasih kepada semua peserta Tri-Adventure Rides 2018 yang bejaya menamatkan misi kembara ke Thousand Corners, semoga pengembaraan ini menjadi kenangan bersejarah buat semua,” kata Ahmad Fazrul Shahril.