Ketua misi ‘Gi Mekoh Nga Mutor’, Diami Yusoff, 60, berkata, pengalaman kali ini sangat berbeza ketika dia menunggang di India dua tahun lalu kerana ketika itu menggunakan motosikal berkuasa besar.

Ketika itu, bapa kepada enam orang anak ini berjaya sampai ke Leh Ladakh iaitu kawasan setinggi 3,500 meter dari aras laut yang merupakan puncak tertinggi di dunia yang boleh dilalui kenderaan.

“Pada 2016 saya menggunakan motosikal besar jadi walaupun kawasannya lebih tinggi tetapi pengalaman menunggang tidak seperit seperti sekarang.

“Perjalanan 10 kilometer dengan motosikal kapcai melalui jalan lereng bukit yang berlubang, berdebu dan rosak adalah lebih menyiksakan daripada menunggang sejauh 100 kilometer di jalan negara kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Diami bersama dua sahabatnya, Mohamad Zalani Zulkifli, 64, dan Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40, kini berada di negeri Assam dan dalam perjalanan menuju ke bandar Guwahati setelah bermalam di Nagon, semalam.

Misi mereka ke Mekah untuk menunaikan umrah tahun hadapan hari ini masuk hari ke-17 dan sudah melalui perjalanan kira-kira 3,600 kilometer sejak bermula pada 3 November lalu.

Sementara itu, Mohamad Fadhli berkata, keadaan jalan yang teruk dan berdebu sejak mula memasuki India pada 14 November lalu melalui pekan Moreh sangat memeranjatkan mereka.

“Keadaan debu jalan yang tebal seolah tidak lojik dek akal, terasa bergerak dalam keadaan kabus, kami terpaksa memakai topeng muka beberapa lapis dan menunggang dengan amat berhati-hati dengan mengikut belakang lori, risiko tinggi di sebelah kiri dinding bukit, kanan pula gaung.

“Semalam buat pertama kali juga kami mengalami insiden paling mendebarkan atas jalan bukit apabila kuda besi Ayah Lani tersekat dan berpusing dalam laluan licin dan berlumpur sebelum Dimaphur menyebabkan dia terpaksa melompat dari motosikalnya, syukurlah tidak ada apa-apa buruk berlaku,” katanya. - UTUSAN ONLINE