Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Wahid Lasiman berkata, langkah itu perlu dilaksanakan kerana industri automotif telah berjaya melahirkan ramai usahawan bumiputera yang berjaya.

Lebih membanggakan, katanya, para usahawan berkenaan menyumbang semula kejayaan masing-masing kepada ekonomi negara dan masyarakat dengan pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kita tidak mahu pihak kerajaan, masyarakat umum dan penggiat dalam industri lain melihat industri automotif ini tidak penting dan memperlekehkan dengan tindakan-tindakan yang tidak relevan.

“Kesemua itu dapat dilihat apabila banyak sekatan dan halangan untuk usahawan industri automotif meraih kejayaan, antaranya status Permit Import (AP) Terbuka yang terhad dan perlu mendaftar semula,” katanya kepada Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Pekema, Jalan Ampang di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wahid berkata, sekatan dan halangan sedemikian seolah-olah pihak berkuasa tidak menghargai kejayaan yang dikecapi para usahawan khususnya dalam kalangan bumiputera.

Katanya, keadaan menjadi lebih tertekan apabila pihak lain seperti sektor perbankan dan insurans turut mempunyai anggapan buruk seterusnya mewujudkan pelbagai syarat baharu untuk membuat pinjaman kenderaan.

“Walau bagaimanapun, kesemua sekatan, halangan dan syarat-syarat yang dikenakan itu tidak pernah membuatkan ahli-ahli Pekema berputus asa. Mungkin mereka kurang senang atau tidak mengenali kami.

“Justeru, kami berharap menerusi kerjasama antara Pekema dan Utusan Malaysia melalui Pekema Auto dapat menjernihkan semula persepsi buruk tersebut,” katanya