Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, pengguna khususnya masyarakat negara ini sepatutnya tidak perlu meragui kemampuan kereta terpakai, lebih-lebih lagi yang dijual oleh ahli persatuan tersebut.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan beberapa faktor iaitu perbezaan harga dan kawalan kualiti daripada kilang pengeluar yang ditawarkan pada setiap kereta terpakai yang dijual.

“Perbezaan harga kereta baharu dengan kereta terpakai yang berusia setahun kira-kira 30 peratus. Jumlah itu agak tinggi dan ia boleh digunakan untuk tujuan lain seperti memasang aksesori dan kelengkapan lain.

“Di samping itu, pengguna juga tidak perlu bimbang untuk membeli kereta terpakai di bawah Pekema kerana kesemua produk yang di bawa masuk ke Malaysia berusia antara setahun hingga tiga tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Zaibar Automobile Industries Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Zainuddin berkata, kereta terpakai di bawah Pekema juga memiliki jaminan kualiti antara setahun hingga tiga tahun iaitu perkhidmatan penyelenggaraan di seluruh negara termasuk di bawah Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan kemudahan trak tunda jika pengguna mengalami masalah di tengah jalan.

Katanya, kesemua jaminan itu boleh diberikan kerana Pekema hanya memilih dan membawa masuk kereta terpakai yang berkualiti dengan purata gred empat.

“Syarikat pengeluar seperti London dan Jepun mempunyai gred pada setiap kereta terpakai yang akan diimport iaitu gred tiga paling rendah hingga gred lima (baharu).

“Kebiasaannya, Pekema akan mengambil gred keempat kerana jumlah perbatuan perjalanan (mileage) bawah 20,000 kilometer, tiada sebarang kerosakan dan tidak pernah terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Tambah Zainuddin, hubungan baik antara Malaysia khususnya Pekema dengan negara pengeluar kereta terpakai telah terjalin kira-kira 36 tahun.

Katanya, hubungan baik itu meletakkan Malaysia merupakan negara pengimport terbesar dan paling baik kerana hanya memilih kereta terpakai yang berkualiti.

Ujar beliau, keadaan itu berbeza dengan beberapa negara lain seperti di Asia Tengah, Australia dan Rusia yang hanya membeli kereta terpakai berusia 10 tahun ke atas.