Tetapi dengan harga RM413,888 sebuah, mungkin tidak ramai di antara kita berani untuk pergi ke bilik pameran Mercedes-Benz bagi menguji­nya. Jika memandu uji pun segan kerana harganya, apatah lagi untuk memilikinya.

Kenapa saya kata raksasa? Ini kerana kuasanya maksi­mumnya ialah 381hp @ 6,000rpm dan kilas maksimum 475Nm @ 2,250rpm. Berapa laju ia boleh pergi? Pecutan maksimum yang dihadkan dengan komputer ialah 250 kilometer/sejam (km/j). Ya, nampak macam taklah laju sangat tetapi, pecutan 0 hingga 100 km/j ialah 4.4 saat. Ya, 4.4 saat yang mampu menyebabkan badan anda terbenam dalam kerusi bucket Recaro ditarik ke belakang oleh kuasa G!

Kereta ini sangat hebat ya tuan-tuan dan puan-puan. Mercedes-AMG GLA 45 ini adalah jelmaan roh kereta sport dua pintu dengan bonet depan tajam disuntik ke dalam kereta hatchback empat pintu yang boleh membawa keluarga termasuk datuk dan nenek pemiliknya.

Melihat pada fizikalnya, te­rus ternampak seperti sebuah hatchback sport keluarga. Tetapi sebenarnya ia adalah GLA iaitu kod nama kenderaan utiliti sukan (SUV) untuk A-Class. Patutlah nampak macam Mercedes-Benz A-Class (bukan model 2019) tetapi lebih tinggi sedikit dan konservatif.

Lampu hadapan agak besar dengan LED High Performance untuk pencahayaan yang lebih jelas dan bertumpu. Bampar juga dinaik taraf dengan aksesori baharu seperti lid depan, jeriji, spliter depan, difuser belakang dan spoiler lip seperti sayap pada bumbung.

Sayap pada bumbung tu bukan suka-suka diletakkan di situ tetapi ia boleh memberi kesan aerodinamik untuk angin `menekan’ kereta ke bawah semasa kelajuan tinggi.

Jentera ini didatangkan dengan AMG multi spoke aloy ringan 20-inci dengan tayar le­bar 235,40 yang menjadikan Mercedes-AMG ini kelihatan tinggi.

Kesemua elemen luaran yang ada bertujuan menambah baik aerodinamik, rintangan angin dan kestabilan pemanduannya terutama semasa kelajuan yang tinggi.

Bahagian dalamannya juga mengagumkan. Papan pemuka menggunakan material kulit Artico, dengan corong pen­dingin hawa bulat yang disolek dengan warna merah menyala. Tempat duduk hadapan bucket sepenuhnya berjenama Recaro dengan gaya AMG Performace. Kerusi dihiasi jahitan merah itu boleh dilaras secara elektronik.

Sterengnya pula seperti ba­lutan baldu dan sedap dalam genggaman dengan bahagian bawahnya diratakan.

Untuk Mercedes-AMG ini, ruang dalamannya dihiasi elemen merah dan hitam yang menjadi tema utama AMG Exclusive.

Baiklah, mari bercakap pasal kuasanya. Menghidupkan enjin sahaja terdengar bunyi letusan enjin 2 liter. Jika anda menekan pedal minyak dengan lebih agresif, maka letusan bunyi akan menjadi lebih menarik. Meletup-letup bro!

Dengan 381hp, jentera ini sentiasa dahagakan kuasa. Anda akan sentiasa mencari alasan untuk memecut. Sebagai sebuah jentera sport yang sempurna, sebarang cabaran untuk memecut memang disambut baik. Bukan itu sahaja, apabila pegang sahaja stereng, anda akan berani mencabar kereta lain untuk beradu kuasa.

Tak kisah untuk memotong di selekoh atau jalan lurus, semua cabaran akan diterima dengan senang hati. Transmisi AMG Speedshift DCT 7-transmisi kelajuan sports menjadikan jentera ini meluncur dengan sempurna. Tak terasa tersentap-sentap.

Mahukan lagi kuasa, putar butang mod Race yang terletak di belakang tombol gear, maka anda adalah raja di jalan raya. Terasa lonjakan kuasa dengan jarum rpm akan naik. Bunyi ekzos menjadi lebih galak.

Oh ya, Mercedes-AMG GLA ini turut didatangkan dengan sistem bunyi sekeli­ling Harman Kardon Logic 7. Sudahlah bunyi ekzos meletup-letup, sistem bunyi hiburan juga meletup-letup! Memang terbaiklah.

Bila bercakap tentang kuasa, sudah tentu kereta yang laju memerlukan pembakaran bahan api yang agak banyak. Jentera ini memerlukan 7.4 liter/100km yang disifatkan berbaloi untuk kelasnya.

Satu lagi perkara, bila bercakap tentang kuasa, maka sudah tentu membabitkan kelajuan yang boleh melebihi peraturan. Ja­ngan ditanya adakah penulis pernah mendapat saman semasa mengujinya.

Namun yang jelas, kepada sesiapa yang ada duit simpanan melebihi RM1 juta dan penat dengan kereta sport dua pintu kerana tidak boleh membawa anak dan isteri untuk bersiar-siar dan berlumba, Mercedes-AMG GLA 45 4Matic ini sesuai untuk anda. Ia adalah jentera yang boleh menjadikan anda sombong dan riak di jalan raya.