Sering kita dengar aktiviti kelab permotoran yang biasa adalah berkonvoi ke destinasi menarik mahupun berkunjung ke kedai makan popular untuk menikmati sajian istimewa atau sekadar ‘makan angin’ mengunjungi kawasan air terjun atau pantai.

Ini kita dapat lihat pada setiap hujung minggu. Begitu banyak konvoi motosikal berhimpun beramai-ramai di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sama ada menghala ke utara, selatan ataupun pantai timur.

Lain pula dengan misi KLBC kali ini. Kelab itu mahu mencari sesuatu kelainan. Justeru, ahli kelab memilih untuk berkonvoi sambil berbakti kepada masyarakat.

Mengenali KLBC, kelab permotoran itu sudah lebih lima tahun ditubuhkan dan mempunyai lebih 90 ahli berdaftar.

Kekuatan itu dimanfaatkan oleh KLBC dengan mengadakan aktiviti kemasyarakatan dengan membawa pelbagai kempen berkaitan dengan kesedaran sivik dan keselamatan jalan raya.

Bukanlah mereka sudah bosan dengan konvoi yang biasa dilakukan kelab permotoran lain. Namun seperti kata Presiden KLBC, Mohd. Shukri Abd. Hamid, pengisian konvoi yang berfaedah adalah lebih bermakna buat mereka.

“Boleh dikatakan hampir setiap minggu, KLBC mengadakan perjumpaan dengan ahli dan menggerakkan pelbagai aktiviti.

“Kelab kami aktif. Jadi, kekuatan itu dimanfaatkan dengan menganjurkan aktiviti kemasyarakatan supaya orang ramai tidak memandang permotoran sebagai hobi yang tidak berfaedah.

“Antara aktiviti yang kelab lakukan adalah Konvoi Derma Darah serta Kempen Kesedaran Gangsterisme dan Buli,” katanya kepada S2.

Tambah beliau, KLBC turut menganjurkan program Keselamatan Jalan Raya di sekolah sekitar Lembah Klang termasuklah teknik tunggangan motosikal yang betul.

Sementara itu, salah seorang ahli kelab, Mohd. Rosli Mohd. Sukur, berkata, pengisian aktiviti berfaedah dalam konvoi permotoran tidak membuang masa begitu sahaja.

Bahkan menurutnya, ia kenangan paling bermakna terutama bagi mereka yang jarang berpeluang melakukan aktiviti sedemikian.

“Sebagai contoh, Konvoi Derma Darah yang diadakan pada bulan lalu. Sebanyak 14 peserta menyertainya dan 10 daripadanya layak menderma.

“Bagi yang tidak layak menderma, mereka nampak kecewa tetapi kelab amat berbangga kerana kesemua peserta sedia berkhidmat kepada masyarakat walaupun menerusi platform yang berbeza.

“Lebih manis lagi apabila mereka yang menderma darah diberikan sijil penghargaan. Ini boleh memberi semangat kepada ahli kelab untuk terus menderma pada masa hadapan,” ujarnya.

Mohd Rosli turut memberitahu, mereka yang menyertai aktiviti itu datang dari jauh semata-mata mahu berkonvoi dan menderma darah.

“Peserta paling jauh datang dari Ipoh dan Seremban. Kesemua peserta puas hati kerana selain dapat melayan minat bermotosikal, mereka juga berkonvoi sambil melakukan aktiviti berfaedah.

“Selain itu, kelab tetap mengadakan pertemuan seperti biasa,” katanya sambil memberitahu berkonvoi ke sesuatu tempat yang jauh dapat merapatkan ukhuwah persahabatan.

Beliau menambah: “Kalau minggu ini, mereka tak dapat datang...,mungkin minggu hadapan, mereka boleh datang. Minggu berikutnya pula, mereka berpeluang menyertai konvoi lain pula. Esok pula, kami akan kumpulkan kira-kira 400 buah motosikal untuk aktiviti khidmat masyarakat di Pusat Jagaan Warga Tua Jasheira di Bestari Jaya, Selangor” katanya.

Tambahnya lagi, pelbagai cara KLBC dilakukan untuk merapatkan silaturahim dalam kalangan ahli kelab.

Selain berkonvoi, mereka juga tidak jemu melepak dengan rakan-rakan sambil bergotong-royong.

“Kalau tidak ada konvoi, kami tetap mengadakan aktiviti seperti gotong-royong.

“Kadang-kadang, ada antara sahabat kami yang melangsungkan majlis perkahwinan, kenduri doa selamat dan sebagainya. Jadi, kami tolonglah masak dan membuat persiapan lain.

“Yang penting....kita tidak bosan. Mesti ada aktiviti. Jadi..., lebih ramai penggemar motosikal daripada pelbagai jenis mahu sertai KLBC,” ujarnya.