Beliau berkata, kaedah itu sebaliknya menambahkan lagi tekanan kepada usahawan-usahawan bumiputera yang kebanyakannya baru hendak memulakan perniagaan sehinggakan hampir separuh bilangan syarikat yang menerima AP berkenaan telah dan mula gulung tikar.

“Kami dikenakan sistem percukaian yang berbeza dengan pemegang AP francais. Jumlah cukai yang terpaksa kami tanggung hampir 90 peratus sedangkan pemegang AP francais menerima pelbagai faedah daripada kerajaan terutama melalui Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

“Apabila cukai dikenakan ke atas kami terlalu tinggi, kami tidak dapat menawarkan harga pada kadar kompetitif. Siapa yang hendak beli motosikal terpakai kalau harganya tidak jauh beza dengan model baharu?” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohd. Fadzli, tidak cukup dengan cukai sedia ada, pemegang-pemegang AP motosikal ditekan lagi dengan `short collection’ yang dikenakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Selangor berkata, jumlah short collection itu bukan sedikit malah adakalanya mencecah jutaan ringgit.

“Bila kita dah bayar semua cukai, JKDM datang pula untuk short collection. Apabila motosikal sudah dijual, boleh minta balik daripada pembeli? Sudah tentu tidak. Jadi kami berasa sangat tertekan dengan perkara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, sikap syarikat kewangan yang mengenakan syarat terlalu ketat dan kadar faedah yang tinggi turut menyumbangkan tekanan kepada perniagaan motosikal berkuasa tinggi terpakai.

Malah, katanya, terdapat sebahagian syarikat kewangan atau pemberi kredit langsung tidak menawarkan perkhidmatan memberi pinjaman untuk pembelian motosikal.

Kecewa dengan situasi semasa membabitkan pemegang AP motosikal berkuasa besar terpakai, Mohd. Fadzli berkata, matlamat kerajaan memberi AP kepada bumiputera bagi membantu meningkatkan ekonomi golongan itu tidak akan tercapai sekiranya keadaan sama berterusan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dapat membuka mata terutama dalam memberi faedah sama rata kepada pemegang AP terbuka seperti yang diterima pemegang AP francais.

“Dasar kerajaan memberi AP terbuka motosikal ini kepada golongan bumiputera sangat baik, namun dengan adanya banyak kekangan, rata-rata mereka ini yang baru sahaja hendak memulakan perniagaan gagal di separuh jalan.