Bermula dengan menjual kereta terpakai menerusi syarikat Hamawangsa Kredit Sdn. Bhd., perniagaan Kumpulan SMS kini berkembang sehingga memiliki 18 buah anak syarikat dalam pelbagai bidang perniagaan.

Menceritakan semula perjalanan Kumpulan SMS, Pengarah Eksekutifnya, SM Hafiz SM Shalahuddin berkata, Hamawangsa Kredit  pada asalnya dimiliki seorang ahli perniagaan daripada Batu Pahat di Johor, namun telah dibeli oleh bapanya, Datuk SM Shalahuddin SM Amin pada 2010.

Selepas mengambil alih syarikat itu, bapa beliau mengorak langkah memajukan perniagaan menjual kereta terpakai bermula dengan AP berjumlah 98 unit setahun dan kemudiannya meningkat kepada 350 unit pada 2012 selain dianugerahkan AP motosikal oleh kerajaan sebanyak 250 unit setahun.

Pada 2013, jumlah AP kereta dan motosikal Hamawangsa Kredit meningkat lagi dengan masing-masing kepada 478 unit dan 500 unit setahun, dan jumlah itu kekal sehingga 2014.

Menurut SM Hafiz, perniagaan kereta terpakai mula bergerak perlahan pada 2014 ekoran persepsi orang ramai mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang hendak dilaksanakan kerajaan pada 2015 selain faktor kelembapan ekonomi global dan kejatuhan nilai mata wang.

Jelas beliau, rata-rata masyarakat mengambil sikap tunggu dan lihat kerana mereka beranggapan bahawa harga kereta akan jatuh dengan pelaksanaan GST.

“Sehingga sekarang (2016), perniagaan kereta terpakai ini terus menurun sehingga 50 peratus disebabkan faktor-faktor yang disebabkan tadi. Namun dengan pelbagai strategi yang dipasang, syarikat kami terus bertahan dan mampu bersaing,” katanya.

Menyedari bahawa Hamawangsa Kredit tidak boleh bergantung kepada perniagaan kereta dan motosikal terpakai sahaja, syarikat itu kemudiannya mengambil keputusan melebarkan lagi sayap dalam bidang perniagaan lain.

Selain alat ganti dan aksesori kereta serta motosikal, Hamawangsa Kredit juga kini menceburi bidang pengangkutan awam, hartanah, pengurusan aset, pembuatan, basikal, makanan dan minuman kesihatan, kawalan serangga serta insuran.

Hasil perniagaan dalam pelbagai bidang itu, Kumpulan SMS kini mampu berdiri megah lebih-lebih lagi dengan terbinanya pusat jualan kereta dan motosikal sendiri di atas tanah seluas 0.89 hektar di pinggiran Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Sudah tentu kejayaan tersebut bukan sahaja dinikmati oleh SM Shalahuddin selaku Pengerusi Eksekutif Kumpulan SMS serta dua anaknya, SM Hafiz dan SM Fauzi yang masing-masing merupakan Pengarah Eksekutif syarikat tersebut, tetapi turut dimanfaatkan oleh kira-kira 1,700 pekerjanya.

Kumpulan SMS malah tidak lupa untuk menyumbang semula kepada komuniti apabila menubuhkan Madrasah Tahfiz Miftahul Ulum (MTMU) di Hulu Langat, Selangor selain maahad tahfiz di Kemboja dan Kyrgyzstan.