Biarpun baru sahaja berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), kelab tersebut sebenarnya sudah lama bertapak dan aktif dalam arena permotoran sejak 2008 lagi.
 Presidennya, Abdul Khadzib Bakar, 50, menyifatkan penubuhan kelab tersebut sebagai platform melahirkan penunggang motosikal berkuasa tinggi profesional yang mematuhi undang-undang.
"Dengan itu, sekali gus diharap dapat mengubah tanggapan masyarakat mengenai kelab motosikal yang sering dikaitkan dengan persepsi negatif seperti lumba haram, menunggang laju dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya.
“Hasrat untuk mewujudkan gabungan yang mengangkat martabat penunggang agar lebih profesional dan berhemah adalah selaras dengan penubuhan Otai Bikers walaupun baru sahaja ditubuhkan.
“Langkah berkenaan diharap mampu mengubah tanggapan masyarakat terhadap pemilik motosikal berkuasa tinggi yang sering dikaitkan dengan imej negatif termasuk samseng jalanan dan tidak menghormati pengguna jalan raya lain,”  katanya ketika ditemui MotorMania di Alor Setar baru-baru ini.
Menurut Abdul Khadzib, kelab tersebut berjaya mengumpulkan lebih 50 ahli yang kebanyakan tinggal di utara tanah air sejak berdaftar dengan ROS Jun lalu.
  “Ini merupakan satu perkembangan yang sihat dan menggalakkan bagi kelab motosikal berkuasa tinggi yang masih baharu seperti Kelab Otai Bikers.
“Secara rasmi, kita mempunyai ahli dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang tetapi pada masa sama, kita giat mengumpulkan ahli yang aktif sebelum ini untuk mendaftar semula sebagai ahli rasmi dari seluruh negara,” katanya.
Beliau menambah, kebanyakan aktiviti kelab tersebut tertumpu kepada kegiatan permotoran seperti konvoi dan juga kegiatan kemasyarakatan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
“Kita bukan sekadar konvoi suka-suka tetapi pada masa sama, kita libatkan masyarakat dalam aspek kebajikan,” jelasnya.
Sementara itu, bendahari kelab tersebut, Ahmad Ayub, 51, berkata, meskipun kelab itu tidak mempunyai ramai ahli seperti kelab-kelab permotoran lain, apa yang penting ialah kualiti ahli.
“Kekuatan sebenar sesebuah kelab itu bukan bergantung kepada berapa ramai ahli semata-mata kerana kualiti, komitmen serta kesetiaan menjadi aspek penting dalam meningkatkan semangat mengeratkan ikatan persaudaraan dalam kelab,” katanya.