GWM pula ialah pengeluar terbesar kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pikap di China.

Menggunakan kod nama H1 dan H2, namun perbezaan antara kedua-dua model itu umpama langit dan bumi. Kalau tidak percaya, sila baca dan lihat hasil uji pandu kali ini.

Luaran H1

Kalau dilihat luarannya, H1 menampilkan reka bentuk yang unik. Biasanya kereta dari China menampilkan kombinasi pelik dan cantik. Reka bentuk depannya agak cantik dengan lampu utama bersegi yang besar. Pasangan lampu utama disambungkan pula dengan jua jeriji perak.

Bampar pula dipasangkan dengan lampu kabus dengan perumahnya tersendiri. Ya, ia nampak menarik. Pada bampar juga dilengkapi gril kelabu bagi menampilkan kelainan. Kalau dilihat dari sudut sisi dan depan, H1 agak menarik.

Cuma belakangnya pula agak kurang ‘menyengat’. ia seper­ti sebuah SUV yang dipotong hampir 90 darjah tanpa mening­galkan seni. Lampu brek juga agak besar.

Bila dilihat secara lama, reka bentuk depannya agak baik, tapi bahagian belakang pula sedikit lucu.

Dalaman

Memasuki ruang kabinnya mengingatkan penulis tentang model Perodua Kembara. tapi H1 ini agak besar sedikit daripada Kembara dan hiasan dalamannya jauh lebih baik. Papan pemuka juga agak elegan de­ngan skrin infotainmen yang besar. Skrin itu juga memaparkan imej belakang ketika meng­undur.

Sterengnya juga menarik dan dilengkapi butang untuk me­ngawal sistem audio dan untuk cruise control. Susun atur butangnya pula tidak terlalu ba­nyak. Ringkas dan efisien.

Kerusi pula seolah-olah jenis balutan kulit dan tidak mengikut kontur badan. Untuk jalan jauh, mungkin sedikit penat.

Tetapi yang paling bagus dan boleh dipuji pada H1 ini ialah sistem binaan dalaman Smart Tag. Ini harus dipuji kerana bukan model Myvi yang ada sistem itu, tetapi H1 ini juga disertakan.

Kuasa

Haval H1 dilengkapi dengan enjin 1.5 liter aspirasi natural (NA) VVT MPI berkuasa 105hp @ 6,000rpm dan kilas 138Nm @ 4,200rpm.

Transmisi H1 ini agak pelik sedikit. Ia gabungan automatik dan manual tanpa tanda P untuk parkir. Jadi, jika mahu mematikan enjin adalah dengan meletakkan kedudukan gear pada N untuk neutral.

Untuk menukar gear manual ketika dalam pemanduan, ha­nya tolak tombol gear ke kiri dan ikut tanda + untuk gear tinggi dan - untuk gear rendah. Ringkas dan mudah.

Di jalan raya, H1 ini boleh jadi seronok dan ada yang tidak seronok. Seronok kerana saiznya yang tinggi menjadikan pandangan hadapan yang lebih luas. Tidak seronoknya ialah ia agak berbuai walaupun di jalan yang lurus.

Kuasanya pula dapat penulis sifatkan agal slow. Jika anda memecut sekalipun, daya henjutan enjin agak lembap. Penukaran gear automatik juga agak lengah serta tersengguk-sengguk.

Kesimpulan

Bagaimana untuk penulis beri kesimpulan tentang mo­del ini. Ya dari segi luarannya ia masih menarik dengan gabungan warna yang unik.

Dari segi kuasanya pula, ia masih perlukan sentuhan bukan untuk kelajuan, tetapi keselesaan. H1 akan tetap membawa imej SUV dari China dan persepsi akan mengambil masa yang lama untuk dipulih­kan.

Tetapi, jika dilihat pada harganya dan apa yang ditawarkan seperti ciri-ciri keselamatan ESP/ESC (ABS + EBD, HBA Brake Assist, HHC Hil Start Assist, TCS Draft Control) ia adalah sebuah SUV yang berbaloi untuk dimiliki bagi digunakan untuk ke tempat kerja.