Bapanya, Datuk Osman Mahmud bukan calang-calang orang. Sebut saja nama gelarannya iaitu ‘Man Lawa’ di negeri ini, maka ramailah orang kenamaan mengenalinya selaku pemilik syarikat menjual kereta mewah berkaliber, Kumpulaniaga Mahmud Taib Sdn. Bhd.

Tetapi anaknya sekadar disuruh menjaga stor dan mengira stok tanpa diberi jawatan penting dalam syarikat. Shazwann mengaku berkecil hati dan memberontak pada waktu itu.

Namun, pekerjaannya di dalam syarikat berubah-ubah sehinggalah kini pada usia 27 tahun dan menjawat jawatan Pengarah Operasi di syarikat tersebut, Shazwann nyata sudah lebih matang untuk mengerti tujuan bapanya itu.

“Hari ini saya bergelar ‘pengarah’ tetapi saya tahu bagaimana cara yang betul untuk menjalankan tugas di setiap peringkat. Jika dahulu bapa terus menaikkan pangkat saya sebagai ‘bos’ semata-mata kerana saya anaknya, saya berkemungkinan besar tidak akan mampu untuk memimpin syarikat apabila diamanahkan nanti.

“Saya bermula dari bawah dan peranan saya dinaikkan sedikit demi sedikit. Selepas bertugas di stor, saya kemudiannya menjadi jurujual sebelum diserap ke bahagian pentadbiran mengikut kehendak bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, Osman turut mempunyai cara tersendiri dalam membentuk keyakinan dirinya untuk berdepan cabaran dalam dunia perniagaan.

“Apabila saya mula menguruskan syarikat, bapa awal-awal lagi sudah berpesan bahawa saya boleh mencuba untuk melakukan apa saja strategi yang mampu mendatangkan keuntungan. Jika berlaku apa-apa, bapa akan tanggung.

“Itu membuatkan saya sentiasa tidak gentar untuk mencuba strategi yang dirasakan sesuai. Sudah tentu, saya akan cuba sehabis baik dalam menjayakannya kerana tidak mahu bapa menanggung kerugian selain mahu membuktikan kemampuan sendiri,” katanya.

Antara strategi yang cuba diperkenalkannya pada tahun ini adalah dengan membawa masuk kereta mewah daripada model dianggap asing bagi rakyat di negara ini namun mampu menarik perhatian umum seperti daripada jenis ‘American Muscle’ serta kereta bertaraf ‘super car’.

Sementara itu, Osman yang sememangnya terkenal dengan sifat mesra dan merendah diri memberitahu, pendedahan awal diberikan kepada anak tunggalnya itu dibuat semata-mata kerana mahukan Shazwann setidak-tidaknya merasa sedikit kesusahan sebelum berjaya bagi menjadikannya lebih cekal berdepan cabaran.

“Saya dahulu merasai pengalaman yang ‘maha susah’. Datang daripada keluarga yang kais pagi, makan pagi dan hanya belajar ke peringkat LCE. Selepas itu saya memulakan alam pekerjaan sebagai pegawai rendah di Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan gaji hanya RM94 sebulan.

“Saya tidak malu menyatakan dari mana saya bermula dan dari situ anda boleh bayangkan rintangan untuk saya berjaya tanpa ada tunjuk ajar daripada sesiapa. Disebabkan itu, saya tahu bagaimana kesusahan di peringkat awal mampu untuk membantu Shazwann menjadi lebih baik untuk merangka masa depan,” katanya.