Sejak daripada kecil lagi kedua-dua beradik itu banyak menghabiskan masa di pusat jualan kereta terpakai yang diusahakan bapanya, Allahyarham Datuk Abdul Hamid Ibrahim.

Pendedahan begitu banyak tentang industri automotif telah mendorong mereka meneruskan legasi bapa dan kini merupakan antara `tauke’ kereta import terpakai yang disegani menerusi syarikat Ally Azran Holding Sdn. Bhd.

Menyingkap kembali perjalanan Ally Azran Holding, Ally Azran yang kini merupakan Pengarah Urusan syarikat itu berkata, bapanya memulakan perniagaan sebagai pengendali pelabuhan dan ejen forwarding pada 1975.

Abdul Hamid kemudian mengembangkan perniagaan dengan memohon permit import (AP) daripada kerajaan pada 1980 bagi menyahut cabaran menjadi usahawan automotif bumiputera dengan AP permulaan hanya berjumlah 10 unit kereta setahun.

Tahun demi tahun, perniagaannya terus berkembang dan pada 1993, Ally Azran Holding berjaya mengambil alih sebahagian besar saham syarikat Torino Motor Industries (M) Sdn. Bhd. sekali gus membuka peluang kepada syarikat itu untuk menjadi pengedar tunggal kepada kenderaan jenama Fiat dan Lancia.

“Walau bagaimanapun, adat dalam berniaga pasti ada pasang surut, perniagaan membawa masuk Fiat dan Lancia selepas 15 tahun akhirnya menemui kegagalan.

“Perkara tersebut terjadi kerana cukai tidak menentu yang dinaikkan kerajaan secara tiba-tiba sehinggakan kereta jenama tersebut tidak dapat dijual dan perniagaan cuma dapat diteruskan dengan menjual alat gantinya sahaja,” kata Ally Azran kepada Utusan Malaysia.

Namun perkara itu tidak mematahkan semangat Ally Azran Holding yang kemudiannya melebarkan lagi sayap perniagaan sebagai pengedar sah kepada kereta nasional kedua iaitu Perodua dan pengedar skuter LML.

Ally Azran Holding juga menceburi perniagaan minyak pelincir dan pernah menjadi pengimport tunggal Petronas Lubricant Italy selain bidang perniagaan lain seperti insurans, perbankan, hartanah, firma audit dan firma guaman.

Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi Ally Azran Holding kemudiannya membolehkan syarikat itu membuka cawangan menjual kereta terpakai pula di London dan Tokyo.

Ally Azran Holding yang kini memegang AP berjumlah 400 unit setahun mampu berdiri megah khususnya dalam kalangan penggiat industri automotif apatah lagi kumpulan syarikatnya yang dikenali sebagai Kumpulan Ally memiliki bangunannya sendiri iaitu Wisma Ally di Jalan AU3/1, Hulu Klang.

Sementara itu, Ally Azwin yang juga Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat berkata, bapanya yang meninggal dunia pada 2011 merupakan antara perintis kepada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) dan pernah menjadi Presiden untuk beberapa penggal.

Legasi dalam Pekema kemudiannya disambung beliau dan abangnya yang kini masing-masing menjawat jawatan sebagai Penolong Setiausaha Kehormat dan Ahli Jawatankuasa persatuan itu.

“Selain mengendalikan perniagaan sendiri, saya dan abang akan meneruskan perjuangan bapa dalam Pekema untuk memartabatkan industri automotif khususnya dalam penjualan kereta terpakai sebagai antara industri utama negara,” katanya.