Ketika itu, industri pengimportan kereta-kereta mewah seperti jenama Porshe, Opel, Suzuki, Alfa Romeo, Rover dan banyak lagi dikuasai oleh kaum bukan bumiputera.

Kerajaan melihat wujud keperluan genting bagi mewujudkan peluang kepada bumiputera. Inilah menjadi antara inti pati Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 yang membuka pintu kepada bumiputera menyertai industri automotif. Dasar Permit Import (AP) diperkenalkan setahun lebih awal daripada DEB iaitu pada 1970 oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Ketika itu, peruntukan AP secara kuota tetap iaitu antara 30 hingga 200 unit setahun diberikan kepada kira-kira 269 syarikat pengimport bumiputera.

Dengan bermodalkan antara RM50,000 hingga RM100,000, syarikat bumiputera itu melibatkan diri secara aktif dalam usaha memecah monopoli syarikat bukan bumiputera. Sebahagian besar daripada mereka bermula dari bawah dengan modal, kepakaran dan rangkaian yang terhad.

Atas faktor yang sama juga, ramai daripada mereka yang tidak dapat bertahan dan muflis terutamanya selepas tiga kali pusingan kegawatan ekonomi iaitu pada 1985,1994 dan 1997/1998. Ketika ini, jumlah syarikat pengimport ialah sebanyak 100 buah.

Dasar itu merupakan antara inti pati kajian semula Dasar Automotif Negara (DAN) yang diumumkan oleh kerajaan pada Oktober 2009. Selain pemansuhan AP, kajian semula DAN itu juga memerlukan syarikat-syarikat pengimport kereta membayar levi sebanyak RM10,000 bagi setiap kereta yang dibawa masuk.

Presiden Persatuan Pengimport Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman berkata, pihaknya telah menyuarakan pandangan dan saranan kepada kerajaan mengenai perlunya mengekalkan dasar AP.

Lebih-lebih lagi dalam melakukan kajian semula DAN, pandangan Pekema selaku wakil kepada pemain industri automatif bumiputera tidak diambil kira dalam dasar itu. Dasar itu benar-benar memberi impak negatif dan boleh membunuh pengimport kereta bumiputera khususnya orang Melayu.

Selain itu, pelaksanaan caj sebanyak RM10,000 bagi setiap AP yang dikeluarkan kerajaan pula tambah beliau, akan menyebabkan ramai pengimport kereta menanggung kerugian. Ini kerana banyak syarikat yang tidak mampu untuk menghabiskan kuota AP yang diberikan kepada mereka.

Zainuddin mengambil contoh sekiranya sesebuah syarikat mendapat 500 AP, syarikat itu perlu membayar levi sebanyak RM5 juta.

“Pekema sudah menghantar permohonan supaya kerajaan memansuhkan levi tersebut. Tetapi sehingga kini, kami tidak mendapat jawapan,” katanya.

Namun katanya, levi itu biarlah pada kadar yang berpatutan dan mampu ditanggung oleh mereka. ‘’Pekema sudah menghantar permohonan untuk kerajaan menyemak semula levi tersebut dan menurunkannya kepada hanya RM5,000 dan dibayar selepas kereta dijual. Tetapi sehingga kini, kami tidak mendapat jawapan,” katanya.

Dalam isu pemansuhan AP itu, tambah Zainuddin, kerajaan tidak seharusnya terikut-ikut dengan desakan sesetengah pihak yang meminta ia dihapuskan. Alasannya kerana pemberian AP itu hanya memberi keuntungan kepada segelintir pihak semata-mata dan berlakunya penipuan.

Dalam masa yang sama, kerajaan perlu melihat bagaimana dasar AP ini berjaya melahirkan ramai jutawan Melayu dalam bidang yang sebelum ini lebih banyak dikuasai oleh sektor asing.

Cabaran

Dasar pemberian AP itu juga tidak membebankan kerajaan dari mana-mana sudut sekali pun seperti kewujudan tabung khas atau sebagainya. Sebaliknya, usahawan bumiputera itu berdiri di atas tapak sendiri dan melalui pelbagai keperitan, cabaran dan halangan untuk bertahan dalam industri tersebut.

Malah, kewujudan dasar pemberian AP kereta terpakai itu juga tidak mengganggu pasaran kereta tempatan kerana ia hanya ditetapkan pada kadar enam peratus sahaja daripada pengeluaran kereta tempatan. Malah pada tahun 2015 misalnya, hanya 50 peratus sahaja kenderaan AP yang berjaya dijual.

Selain itu, kereta terpakai juga mempunyai kelompok pasaran tersendiri yang jauh berbeza dengan kelompok pasaran kereta tempatan. Seperkara yang perlu diberi perhatian ialah sumbangan industri kereta import ini kepada pembangunan dan pendapatan negara.

Syarikat pengimport kereta bumiputera ini telah mengeluarkan pelaburan bernilai puluhan juta ringgit dalam bentuk pinjaman jangka panjang dengan bank.

Mereka juga menyumbang lebih RM2 bilion setahun melalui pungutan duti eksais dan duti import iaitu 30 peratus daripada pungutan cukai industri automotif keseluruhannya.

Kebanyakan pengimport kereta bumiputera yang berjaya turut membuka rantaian perniagaan dalam pelbagai bidang seperti hartanah, perhotelan, perladangan, makanan serta minuman dan sebagainya membabitkan pelaburan yang dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion.

Industri-industri lain seperti perkhidmatan pelabuhan tempatan, syarikat dan ejen forwarding, syarikat pengangkutan, sektor baik pulih kenderaan, insurans, syarikat alat ganti dan aksesori turut merasai keuntungan daripada kerancakan sektor automotif itu.

Industri ini serta rantaian industri yang diwujudkan telah memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 80,000 orang rakyat tempatan. Hakikatnya, kejayaan bumiputera dalam perniagaan kereta ini adalah antara hasil kejayaan daripada Dasar Ekonomi Baru.