Dua blok bangunan tujuh tingkat berwarna kelabu, hitam dan putih yang terletak di Star Central, Persiaran Rimba Permai, Cyberjaya dekat sini itu dibina dengan menggunakan konsep moden serta dilengkapi ciri-ciri berteknologi tinggi.

Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abd. Rahman berkata, beliau bersyukur kerana usaha keras ahli-ahli persatuan itu akhirnya kini membuahkan hasil menerusi pembelian bangunan baharu itu secara tunai.

“Ramai yang memandang rendah terhadap potensi ahli-ahli perniagaan bumiputera dalam industri automotif. Tetapi, hari ini siapa sangka, Pekema mewakili golongan Melayu dan bumiputera boleh berjaya sehingga ke tahap ini.

“Sudah tentu kami bersyukur dan bangga apabila melihat bangunan ini. Ini adalah bukti bahawa kami juga bersungguh dalam menjalankan perniagaan dan membantu ekonomi negara,” katanya ketika meninjau bangunan baharu Yayasan Pekema, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Pekema, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah dan Setiausaha Kehormat Pekema, Datuk Nadzir Sheikh Fazir.

Dalam lawatan tersebut turut diadakan penyerahan borang senarai inventori bangunan daripada syarikat pemaju, Joyful Star Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Kumpulan Emkay yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, R. Balasundram dan Pengurus Besar Pemasaran dan Jualan, Ruby Mohd. Lana.

Jelas Zainuddin, perancangan seterusnya adalah mengeluarkan tender untuk menjalankan kerja-kerja ubah suai sebelum dapat beroperasi selewat-lewatnya November ini.

Katanya, blok pertama akan digunakan sepenuhnya sebagai ibu pejabat Pekema dan Akademi Pekema iaitu pusat latihan untuk jurujual serta kumpulan pengurusan.

“Pekema sudah memasuki fasa baharu, jadi kita tidak boleh selesa menjalankan perniagaan menggunakan kaedah lama. Kita perlu seiring dengan perkembangan semasa supaya tidak ketinggalan dengan para pesaing.

“Atas sebab itu, kita merancang untuk menyewakan blok kedua kepada mana-mana pihak yang berminat namun keutamaan diberi kepada ahli-ahli Pekema,” katanya.

Bangunan baharu itu memiliki keluasan 36,000 kaki persegi itu dilengkapi dengan landskap taman mini dan pentas yang dikelilingi binaan air pancut di tingkat empat.

Di bahagian bawah terdapat sebanyak 64 tempat letak kereta yang lengkap dengan perkhidmatan lif dan kawalan keselamatan.

Pekema yang dianggotai 300 ahli sebelum ini menjalankan operasi di ibu pejabat yang terletak di Dataran De Palma, Ampang.