Hakikatnya, perahu kolek itu adalah pengangkutan harian nelayan untuk turun ke laut.

Perahu seumpama itu boleh dilihat di perkampungan nelayan Kampung Pulau Gajah di Pantai Sabak, Pengkalan Chepa kira-kira 15 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan.

Pantai Sabak memang menjadi tumpuan orang ramai kerana hasil lautnya yang segar dan harga berpatutan, namun tidak ramai yang tahu bahawa hanya nelayan di situ masih menggunakan perahu kolek.

Nelayan perahu kolek yang juga dikenali sebagai nelayan ‘balik hari’ biasanya keluar ke laut seawal pukul 3 pagi dan pulang ke jeti antara pukul 2.30 petang dan 3 petang.

Saban hari, kepulangan mereka ditunggu anggota keluarga serta pembeli yang mahu mendapatkan pelbagai jenis ikan segar dengan harga yang lebih murah berbanding di pasar.

TIADA PAKAR PERAHU KOLEK

Meluangkan masa berbual dengan nelayan di situ, penulis diberitahu bahawa perahu kolek yang digunakan itu ditempah dari wilayah Narathiwat dan Pattani di selatan Thailand. Ini kerana kini tiada lagi penduduk tempatan yang pakar membina perahu kolek iaitu yang boleh membina dari mula hingga perahu siap sepenuhnya di Kelantan.

Difahamkan pembinaan sesebuah perahu kolek memakan masa sehingga berbulan-bulan.

Selain itu, jika ada orang tempatan yang boleh mengecat perahu tradisional itu sekalipun, kepakarannya tidak dapat menandingi hasil mutu kerja tukang cat di negara jiran itu yang kebanyakannya terdiri daripada Melayu Thailand. Malah, harga di sana lebih murah.

Memang sangat mengagumkan apabila melihat perahu kolek di Pantai Sabak, masing-masing sarat dengan pelbagai lukisan dan ukiran berwarna-warni. Perahu kolek disebut sebagai ‘Kolea’ di Pattani. Perahu jenis ini dikatakan mampu bertahan sehingga puluhan tahun kerana diperbuat 100 peratus daripada kayu cengal yang terkenal dengan ciri-ciri keras, padat, berkualiti tinggi dan tahan daripada perubahan suhu dan cuaca.

Jadi, tidak hairanlah jika ada di antara perahu kolek yang sudah berusia lebih 60 tahun tetapi masa boleh digunakan nelayan berkenaan.

WARISAN LEBIH 50 TAHUN

Salah seorang nelayan perahu kolek, Mohd Ridzwan Ramli, 38, memberitahu, perahunya diwarisi daripada arwah ayahnya dan sudah digunakan selama lebih 50 tahun.

Dia mengakui tidak tahu usia sebenar perahu itu yang dibeli oleh arwah ayahnya daripada pemilik asal di Narathiwat.

“Walaupun sudah berusia lebih 50 tahun, perahu ini masih elok dan kukuh kerana diperbuat daripada kayu cengal. Tidak banyak yang perlu dibaiki. Setiap dua tahun saya menukar cat dan lukisan pada perahu supaya kelihatan lebih menarik terutama ketika meluncur di air.

“Biasanya kepandaian melukis perahu kolek hanya ada pada pelukis di perkampungan nelayan Melayu di negara jiran seperti di Narathiwat dan Pattani. Saya pernah menghantar perahu ke sana untuk ‘disolek’ walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang agak jauh melalui laut selama kira-kira lima jam,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Kampung Pulau Gajah.

Menurutnya, ada pihak pernah menawarkan untuk membeli perahunya dengan harga mencecah RM30,000, namun ditolak kerana baginya perahu itu adalah harta yang tidak ternilai.

SPONTAN MENYOLEK PERAHU

Sementara itu seorang pelukis dari Pattani, Mat Junuh Sulaiman, 63, yang kebetulan berada di kampung itu untuk tugas-tugas ‘menyolek’ perahu, berkata, setiap lukisan adalah berbeza mengikut saiz perahu dan jenis corak yang dikehendaki pemilik.

Sekiranya perahu itu sepanjang kira-kira 9.1 meter dan pemilik mahukan lukisan sederhana, harganya adalah antara RM500 hingga RM1,500.

“Tetapi jika perahu itu sehingga kira-kira 12.1 meter panjang, dan pemiliknya mahukan corak lukisan yang lebih halus, harganya boleh mencecah RM3,000 atau lebih.

“Setahu saya di sini (Kelantan) tidak ramai yang mahir dalam menghasilkan lukisan di perahu tetapi masyarakat Melayu di Narathiwat atau Pattani masih mengekalkan tradisi ini. Corak dapat membezakan asal-usul perahu yang dihasilkan,” katanya yang sudah lebih 30 tahun mengambil upah ‘menyolek’ perahu.

Mat Junuh memberitahu, setiap lukisan dan ukiran yang dihasilkannya mengandungi elemen bunga atau haiwan seperti naga, ikan dan burung helang. Urusan mengecat dan ‘menyolek’ lazimnya memakan masa kira-kira seminggu.

“Saya tidak pernah membuat lakaran terlebih dahulu, selalunya idea datang spontan dan saya akan terus melukis pada perahu.

“Semasa melukis saya seolah-olah tukang karut dalam wayang kulit yang mendapat idea secara spontan. Atas sebab itu kesemua lukisan saya tidak sama dan itulah yang membuatkan lukisan saya digemari pemilik perahu di sini,” tambahnya.

HANYA DI PANTAI SABAK

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kota Bharu, Rosdi Md Ali berkata, sebelum ini terdapat lebih 80 buah perahu kolek di kampung nelayan itu, namun jumlahnya kini semakin berkurangan tinggal kira-kira 40 buah sahaja ekoran peredaran zaman.

Menurutnya, dahulu ada berpuluh perahu tradisional ditambat di sekitar jeti selepas nelayan pulang daripada menangkap ikan dan pada ketika itulah pemandangan amat cantik di mana bukan sahaja kelihatan badan perahu yang berwarna-warni, malah pantulan bayangannya pada permukaan air.

Malangnya, kini ramai nelayan sudah menggantikan perahu kolek masing-masing dengan perahu gentian kaca (fiber) yang dikatakan lebih mudah diuruskan.

“Biasanya perahu kolek, yang sepanjang kira-kira 9.1 meter agak sukar dikendalikan dan memerlukan kemahiran berbanding perahu fiber yang lebih kecil.

“Namun, kita berharap golongan nelayan di sini kekal menggunakan perahu tradisional untuk keluar menangkap ikan di pesisiran pantai,” katanya.

Wujudnya perahu kolek itu, tambahnya, juga sebenarnya menarik kedatangan pelancong kerana di situ sahajalah orang ramai dapat menikmati keindahan pemandangan sedemikian. – BERNAMA