Negara yang pernah dijajah Perancis itu mempunyai khazanah alam semula jadi terdiri daripada gunung-ganang, pantai, sungai malah padang pasir yang mengagumkan.

Sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi dengan ‘disambut’ kedinginan suhu 16 darjah Celsius, penulis dan empat rakan memulakan pengembaraan menuju ke bandar pergunungan Sa Pa, di bahagian utara negara itu.
Kami menaiki sleeping bus ke Sa Pa, kira-kira 380 kilometer dari situ - satu pengalaman unik memandangkan bas seumpama itu tidak terdapat di Malaysia.

Setelah hampir enam jam, kami pun tiba di pekan Lao Chai, Sa Pa pada 3.30 pagi, dan pemandu membenarkan kami terus tidur di dalam bas sehingga pukul 6 pagi.

Mengikut aplikasi ramalan cuaca pada telefon bimbit, suhu di Sa Pa pada pagi itu 9 darjah Celsius. Dalam cuaca sejuk serta masih gelap, kami berjalan kaki mencari hotel yang ditempah lebih awal - terletak kira-kira 400 meter dari situ.

CAT CAT VILLAGE MEMPESONAKAN 


Destinasi pertama di Sa Pa adalah Cat Cat Village yang penghuninya terdiri daripada etnik Hmong dan memang popular dalam kalangan pelancong.

Memandangkan kami berkunjung ke sana pada bulan Januari, cuaca di kawasan pergunungan itu agak sejuk sehingga kabus tebal yang menyelubungi agak menghalang pemandangan sekeliling.

Deretan teres sawah padi menghijau seperti yang sering dilihat dalam risalah pelancongan juga tidak kelihatan memandangkan musim menuai adalah sekitar bulan November dan padi akan mula menghijau sepenuhnya pada Jun.

Namun sebaik sahaja kabus menghilang, pemandangan gunung-ganang di sekeliling kelihatan sangat mengujakan. Ternyata keindahan Sa Pa pada musim dingin tetap memukau.

Selepas berjalan kira-kira satu kilometer, kami menyewa pakaian tradisional etnik Hmong dengan harga 50,000 dong (RM8) sebelum meneroka Cat Cat Village dan melihat budaya etnik Hmong dengan lebih dekat termasuk keunikan binaan rumah dan landskap berasaskan buluh yang dibina di lereng-lereng bukit.

Kampung itu juga mempunyai air terjun yang mempunyai stesen kuasa elektrik hidro lama yang dibina penjajah Perancis.

‘JALAN PINTAS’ KE GUNUNG FANSIPAN

Pada hari kedua kami mengunjungi Gunung Fansipan yang setinggi 3,143 meter dari paras laut.

Biasanya dua hingga tiga hari diperlukan untuk mendaki gunung itu, atau pengunjung boleh menaiki funicular train dan kereta kabel.

‘Pendakian’ menaiki funicular train bermula dari Sun Plaza Station, di Sa Pa, melalui laluan sepanjang dua kilometer melintasi dua terowong dan empat jambatan menuju ke stesen kereta kabel.

Menaiki tren itu mengingatkan saya kepada filem Harry Potter kerana rekaan keretapinya seperti yang terdapat di Eropah pada awal abad ke-20 dengan kerusi dan kemasan siling dan dinding daripada kayu.

Sepanjang 10 minit perjalanan ke stesen kereta kabel, kami dapat melihat pemandangan lembah Muong Hoa yang sangat mempesonakan. Setibanya di stesen, kami ‘disambut’ hamparan taman bunga-bungaan sehinggakan terleka selama lebih 20 minit kerana bergambar sebelum menaiki kereta kabel.

Perjalanan kereta kabel menyaksikan pemandangan indah Sa Pa dari sudut 360 darjah Celsius, sungguh bertuah kerana cuaca cerah dan tidak berkabus pada hari itu.

Kira-kira 15 minit kemudian, kami sampai ke destinasi.

Turun sahaja dari kereta kabel, seolah-olah berada di negeri kayangan seperti yang digambarkan dalam cerita dongeng.

Difahamkan untuk sampai ke puncak tertinggi di Indo-China itu, seseorang perlu mendaki 700 anak tangga. Namun, kami memilih ‘jalan pintas’ - menaiki gondola dengan bayaran 70,000 dong (RM12) sehala yang hanya mengambil masa sekitar lima minit ke puncak tertinggi di gunung yang mendapat jolokan Bumbung Indochina itu.

‘SYURGA’ TERPENCIL

Destinasi seterusnya adalah Ninh Binh, juga terletak di utara Vietnam - kira-kira dua jam perjalanan darat dari Hanoi. Wilayah itu kurang popular sebagai destinasi pelancongan namun menawarkan suasana mendamaikan dengan pemandangan laluan air berbentuk tasik dan sungai berlatarkan banjaran batu kapur serta sawah padi.

Terdapat dua tempat kembara bot untuk menelusuri kawasan itu dengan menaiki sampan yang didayung secara tradisional iaitu di Trang An dan Tam Coc - kedua-duanya punyai keistimewaan tersendiri.

Di Trang An, majoriti pendayung sampan terdiri daripada kaum wanita yang membuatkan kami sangat mengagumkan kerana kebolehan dan kekuatan fizikal mereka mendayung sampan tanpa henti untuk tempoh perjalanan tiga jam.

Menariknya, Trang An pernah menjadi lokasi pengambaran filem Hollywood, Kong: Skull Island pada 2017 dan kini set pengambaran itu dibina semula menyerupai latar filem tersebut bagi membolehkan pengunjung bergambar di situ.

Di Tam Coc pula kebanyakan sampan dikayuh oleh golongan lelaki untuk perjalanan kira-kira 90 minit.

Petani di Tam Coc menanam padi di permukaan tasik, membentuk satu laluan yang kelihatan seperti sungai diapit sawah padi.

Pemandangan itu dapat dilihat lebih jelas dari puncak Mua Cave - juga terletak di Tam Coc - seseorang perlu mendaki kira-kira 500 anak tangga untuk ke puncak.

Vietnam mempunyai banyak lagi destinasi tarikan pelancong jadi termasuk air terjun Ban Gioc di Cao Bang, padang pasir di Mui Ne, tanah tinggi Da Lat dan juga pantai di Nha Trang - yang agak mustahil untuk dimasukkan ke dalam jadual lawatan lima hari kami.

Lawatan ke Vietnam sangat berbaloi kerana negara itu memang kaya dengan khazanah alam semula jadi yang menakjubkan selain anda tidak perlu belanja yang banyak untuk melancong ke sana. – BERNAMA