Resort bercita rasa mewah yang dibuka pada Jun lalu sudah pasti menjanjikan sebuah percutian yang cukup mendamaikan.

Lebih-lebih lagi kepada mereka yang cintakan kehijauan alam serta ingin lari daripada kesibukan kota yang kadangkala menyesakkan fikiran.

Malahan resort mewah ini bukan sahaja sesuai untuk pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan secara eksklusif, tetapi ia juga boleh dijadikan pilihan mana-mana syarikat atau individu yang mahu mengadakan hari keluarga.

Menawarkan 28 bilik penginapan bercita rasa mewah berkonsepkan vila dan dua daripadanya merupakan penthouse, Villa d’Acqua turut dilengkapi dengan kemudahan bertaraf lima bintang yang lain seperti bilik seminar, kolam renang, kafe untuk menjamu selera.

Turut tersedia iaitu padang rumput sintetik untuk pengunjung mengadakan aktiviti sukaneka atau beriadah, sekali gus menjadikan Villa d’Acqua antara lokasi ideal untuk menghabiskan cuti pada hujung minggu bersama keluarga atau teman-teman setelah penat bekerja.

Konsep bilik di vila ini juga adalah eksklusif dengan penggunaan perabot kayu dan kulit.

Bagi pengunjung yang mempunyai anak-anak kecil, mereka masih boleh merasai suasana santai dan mewah di dalam bilik di vila ini kerana setiap bilik mampu memuatkan lima orang dalam satu masa serta sangat selesa dengan saiz bilik yang luas.

Bilik-bilik di sini berlantaikan kayu dengan dekorasi moden. Televisyen yang disediakan di dalam setiap bilik menggunakan skrin projektor supaya pengunjung boleh memainkan lagu kegemaran dan menonton saluran pilihan bersama keluarga.

Puas bermalas-malasan di bilik hotel, pengunjung juga boleh meluangkan masa di kolam renang yang berada di hadapan vila masing-masing.

Apa yang lebih istimewa, kolam renang itu menggunakan 100 peratus air mineral yang diproses oleh pemilik dari sumber air bawah tanah untuk pengunjung menikmati air segar tanpa klorin.

Bagi pengunjung yang gemarkan aktiviti lasak, bolehlah keluarkan peluh dengan menikmati perkhidmatan rang car atau ATV, selain menggunakan skuter eletrik mengelilingi ladang kelapa sawit.

Selain itu, turut disediakan di Villa d’Acqua adalah aktiviti memanah dan perkhidmatan kereta sewa untuk memudahkan pengunjung keluar ke pekan di sekitar daerah Masjid Tanah.

Pada sebelah malam pula, pengunjung tidak perlu gusar jika tiada sebarang aktiviti dilakukan kerana Villa d’Aqcua turut menyediakan perkhidmatan karoake sambil menikmati hidangan barbeku, bersantai bersama keluarga atau teman di hadapan kolam renang yang begitu menenangkan.

Di samping itu, mana-mana pengunjung yang mahu mengadakan hari keluarga di villa mewah ini, mereka juga boleh membawa video untuk ditayangkan di skrin gergasi di hadapan kolam renang.

Tentang harga, usah bimbang kerana ia berbaloi. Lebih-lebih lagi keindahan vila yang begitu mendamaikan seperti anda dan keluarga berada di resort mewah di luar negara.

Kadar sewa setiap vila adalah RM800 termasuk sarapan, manakala untuk penthouse RM1,500 semalam.

Bagaimana pun, Villa d’Aqcua kini mengadakan promosi sehingga akhir tahun ini dengan menawarkan RM400 untuk setiap vila dan Penthouse RM600 semalam termasuk sarapan.

Secara keseluruhannya, penginapan di Villa d’Aqcua ini menjanjikan satu kenangan manis yang sukar dilupakan oleh pengunjung bagi menghilangkan segala kepenatan bekerja, selain dapat melupakan hiruk-pikuk kehidupan di ibu kota bersama keluarga dan teman tercinta.

Dalam pada itu, penginapan yang disediakan oleh pemilik vila ini mendapat pujian daripada pengunjung yang datang bersama keluarga tercinta.

PENGINAPAN

Bukan kerana dapat menikmati pemandangan yang eksklusif dan tenang, malah pengunjung juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti kekeluargaan bagi mengeratkan silaturahim.

Salah seorang pengunjung, Mansor Mabol berkata, pada mulanya dia terkejut apabila melihat sebuah vila mewah terletak di kawasan yang dikelilingi pokok kelapa sawit untuk mengadakan hari keluarga.

“Mula-mula saya ingatkan ia sekadar vila biasa, tetapi tak sangka pula, ia adalah vila yang sangat eksklusif seperti berada di negara luar yang pernah saya kunjungi.

“Memang berbaloi mengadakan hari keluarga di sini kerana lokasi yang strategik menjadi pilihan memandangkan rata-rata ahli keluarga saya tinggal di ibu negara dan daerah berdekatan. Jadi, mereka tidak perlu memandu jauh untuk datang ke sini,” katanya kepada S2.

Salmah Mabol dari Shah Alam pula, berkata, dia sentiasa mencari-cari tempat menarik untuk berehat dan bersantai bersama keluarga dalam suasana tenang dan dikelilingi kehijauan.

“Vila mewah ini mampu memberikan memori terindah buat keluarga besar kami berkumpul.

“Tambahan pula, terdapat padang yang luas. Kami..., adik beradik, cucu-cucu serta cicit berkumpul mengadakan sukaneka bagi mengeratkan silaturahim keluarga,” jelasnya.

Ahli perniagaan, Maarif Mabol memberitahu, beliau mempunyai seorang anak istimewa dan sudah pasti mahukan penginapan yang selesa dan selamat.

“Alhamdulilah, sepanjang aktiviti hari keluarga ini, anak lelaki saya boleh bersama-sama menikmati keindahan sekitar, tambahan pula kemudahan kolam renang yang mesra pengguna berada di hadapan bilik kami.

“Jadi, kami sekeluarga boleh berehat dan bersantai, sambil dia dan ahli keluarga yang lain mandi di kolam renang yang disediakan,” katanya.