Tom yam, khengsom (asam pedas), kerabu kaki ayam, kerabu maggi, pulut mangga, kuih-muih dan rojak adalah sebahagian daripadanya.

Penulis baru-baru ini ke Satun, wilayah di selatan Thailand mengikuti pakej melancong anjuran syarikat Fairy Holiday Sdn. Bhd.

Mengambil kira kos pengangkutan (bas dari Kuala Lumpur), penginapan dan segala makan-minum sudah termasuk dalam pakej RM750, trip dua hari empat malam itu memang berbaloi.

Peritnya cuma semasa menyeberang sempadan Wang Kelian, Perlis - Wan Prachan, Thailand yang sesak setiap kali musim cuti sekolah.

Selesai urusan mengecop pasport, kumpulan kami ke destinasi pertama iaitu Tanyong Po yang terletak kira-kira 50 kilometer dari sempadan.

Walaupun makan tengah hari agak terlewat, penantian untuk ‘membedal’ tom yam ternyata berbaloi apabila dihidangkan set makanan laut yang segar di Tanyong Buri Resort.

Selain udang, ikan, siput dan ketam, udang lipan juga disajikan. Isinya lembut dan manis. Cuma harganya di sini jauh lebih mahal dari tempat kita, bahkan diberitahu mengatasi harga udang kara.

Tanpa perlu lagi membuka dompet, ‘pesta seafood’ kami berakhir selepas kira-kira sejam. Istimewanya, anjung tempat makan kami pada petang itu dialun bunyi ombak dan desiran bayu laut.

Air mula pasang dan kami sudah sedia untuk ke destinasi seterusnya iaitu Pantai Dragon. Perjalanan dari Pantai Tanyong Po ke Pantai Dragon meredah Laut Andaman memakan masa kira-kira sejam. Sayup-sayup, kelihatan Pulau Langkawi.

Kami mendarat di Pantai Dragon dalam cuaca yang agak mendung. Tiada langit biru, tetapi semua peserta rombongan tidak melepaskan peluang bergambar.

Berbeza dengan pantai-pantai lain yang berpasir halus, pantai ini terbina daripada serpihan halus cengkerang siput. Dikatakan, beting pasir sepanjang kira-kira empat kilometer itu mempunyai bentuk seperti seekor naga jika dilihat dari udara.

Kami juga diberitahu bahawa beting pasir tersebut terbentuk selepas tsunami besar yang berlaku pada 2004. Menariknya ketika air surut, ia dikatakan membentuk tombolo, iaitu beting pasir yang menghubungkan dua buah pulau di situ.

Penat kami direhatkan di Hotel Perfect Room di Satun. Hotel saiz sederhana tapi menyediakan bilik yang cukup selesa untuk pasangan beranak satu atau dua. Pandangan kolam mandi yang terjaga rapi dari balkoni bilik cukup mendamaikan.

Malam pertama, pemburuan tom yam disambung semula di sebuah restoran yang terletak tidak jauh dari hotel.

Selepas makan, peluang berada di Satun tidak dilepaskan untuk ke pasar malam terbesar di bandar itu.

Keseronokan hari kedua bermula di Sungai Wang Sai Tong dengan cabaran berkayak selama kira-kira satu jam. Terdahulu, ketika menunggu kru kayak menjemput kami dengan kenderaan pacuan empat roda, kami dijamu dengan keenakan cempedak goreng ala Thai.

Aktiviti berkayak boleh dikatakan kemuncak pengembaraan kami di Satun. Walaupun jaraknya hanya beberapa kilometer, namun pengalaman berkayak di sungai yang berair landai itu berjalan lancar, bahkan disertai oleh semua peringkat umur.

Belaian lembut aliran sungai sedalam paras pinggang itu bagaikan memahami kehendak kami untuk tidak pergi lebih ekstrem. Sekadar berhanyut dibuai arus lembut.

Destinasi seterusnya adalah Hatyai yang merupakan antara lokasi kegemaran rakyat Malaysia jika mengambil kira jumlah pelancong kita yang jauh mengatasi rakyat Thailand di lokasi seperti Pasar Terapung Khlong Hae.

“Selak orang kita baru nampak orang Siam,’’ ujar seorang peserta berseloroh.

Lokasi itu terkenal dengan kepelbagaian makanan seperti kerabu maggi, dimsum chabura, kepak ayam, pulut mangga, bahkan tersenarai sebagai salah satu lima lokasi makanan halal wajib cuba di Hatyai.

Pasar yang dibuka pada setiap hujung minggu bermula dari Jumaat hingga Ahad itu sesuai dikunjungi antara pukul 3 petang hingga 9 malam.

Di Hatyai, kami sempat membeli-belah sebelum meneruskan jadual makan. Makan malam di Hatyai dimuktamad dengan pakej ‘makan sampai penuh’ di Restoran Klonghea Seafood yang menghidangkan stimbot tanpa henti.

Kami meninggalkan keselesaan bilik hotel keesokan harinya dan singgah di Restoran D’ Andaman untuk hidangan tom yam terakhir. Selesai makan, penganjur sempat membuat kejutan kepada beberapa orang peserta yang meraikan hari jadi.

Keakraban antara peserta memang terserlah dari awal lawatan. Rupa-rupanya mereka adalah pelanggan yang sudah berulang kali menggunakan pakej pelancongan dengan Fairy Holiday.

Ikuti percutian peserta Fairy Holiday Sdn. Bhd. menerusi video di https://youtu.be/cB7-YAXgAmM.