MUHAMMAD SYAHRUL NORYATIM
MUHAMMAD SYAHRUL NORYATIM 

 

Menurut Pengurus Masitah Homestay, Muhammad Syahrul Noryatim, 22, cetusan idea memperkenalkan penginapan berkonsepkan kontena lahir daripada ayahnya, Noryatim Adnan.

“Ayah dan ibu, Masitah Sulong pernah melancong ke Jerman dan dari situ, ayah mendapat idea untuk mengusahakan homestay berkonsepkan kontena.

“Kalau ikutkan, di Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor, konsep kontena wujud sebagai tempat makan tetapi bukan sebagai tempat penginapan,” kata Muhammad Syahrul kepada wartawan Utusan Online ketika ditemui di Tapah, baru-baru ini.

Menurut Muhammad Syahrul lagi, terdapat empat kontena dan satu kabin yang dijadikan sebagai pejabat dan kelas mengaji Al-Quran dan setiap kontena, berukuran 8X20 kaki.

kontena masiatah homestay
 

Dengan keluasan tersebut, ujar Muhammad Syahrul, memadai untuk penginapan keluarga.

Kata Muhammad Syahrul lagi, empat kontena yang dipanggil Kontena 1, 2, 3 dan 4 mempunyai perbezaan kerana Kontena 1 dan 2 berdindingkan asbestos manakala Kontena 3 dan 4, menggunakan jickson board.

“Kontena 3 dan 4 yang menggunakan jickson board mahal sedikit harga pembinaannya. Maka itulah, modal yang dikeluarkan untuk menyediakan kontena ini ialah RM8,000 untuk Kontena 1 dan 2 manakala Kontena 3 dan 4 pula, masing-masing RM12,000.

kontena
 

“Di dalam setiap kontena terdapat sebuah katil bersaiz queen, bilik mandi, alat penghawa dingin dan televisyen. Jika penyewa mempunyai anak-anak, mereka diberikan tilam, bantal serta selimut dan bayaran tambahan untuk set ini hanya RM10 sahaja.

“Untuk makluman, bayaran sewa satu malam kontena adalah antara RM80 sehingga ke RM100 dan sekiranya ada yang berminat, mereka digalakkan untuk membuat tempahan sehari atau dua hari lebih awal,” katanya.

Sisi pandangan dari luar, keempat-empat kontena dicat dengan warna terang iaitu merah, jingga, hijau dan putih yang mana kontena berwarna putih ini akan dicat dengan warna biru kelak.

Keselesaan tidur di dalam kontena di Masitah Homestay ini yang baharu sebulan siap sepenuhnya, tidak perlu dipertikaikan.

masitah
 

Sekiranya pelanggan yang mempunyai keluarga yang lebih besar, kata Muhammad Syahrul, Masitah Homestay ada menawarkan penginapan rumah tiga bilik, dua bilik mandi lengkap dengan dapur serta ruang tamu yang luas.

“Rumah atau homestay yang ini pada asalnya sebagai rumah kedua tetapi apabila dikomersialkan, kami menerima pelanggan kerana ia luas dan selesa.

“Kami pernah menerima pelanggan yang menjadikan Masitah Homestay bagi majlis perkahwinan dan homestay ini juga ada kolam renang untuk kanak-kanak.

“Jika ada yang mahu mandi di kolam, mereka hanya perlu menambah RM40. Bayaran sewa rumah ialah RM280 satu malam,” katanya yang turut menyediakan set BBQ dengan bayaran serendah RM30.

Selain daripada dijadikan tempat untuk kenduri kahwin, Masitah Homestay juga menjadi destinasi pilihan untuk acara ceramah.

Muhammad Syahrul berkata, pelancong domestik boleh melakukan aktiviti seperti melawati sawah padi, berkunjung ke ladang ternakan kambing dan boleh juga minum susu kambing segar.

“Bagi mereka yang kaki memancing ikan air tawar, aktiviti itu boleh dilakukan di sini kerana di dalam tali air, banyak ikan haruan dan ikan puyu.

“Menginap di Masitah Homestay di dalam kontena bukan sahaja unik tetapi dapat merasai juga suasana kampung,” katanya seraya mengakhiri perbualan. - UTUSAN ONLINE