Bukan sahaja kita boleh menyaksikan sendiri secara lebih dekat kehidupan khazanah laut yang sebelum ini sekadar dilihat di kaca televisyen atau skrin telefon pintar, malah pengunjung kini juga berpeluang menyentuh beberapa jenis hidupan laut dalam termasuk ikan yu yang diletakkan dalam kolam khas yang sentiasa dipantau petugas.

Menempatkan rangkaian kolam pertama seumpamanya di Asia bagi membolehkan orang ramai lebih berpeluang menyentuh hidupan laut, The Shore Oceanarium memberi peluang terbaik kepada kita untuk memahat kenangan terindah tanpa perlu menyelam ke dasar laut.

Terletak di tingkat dua gedung beli-belah The Shore Shopping Gallery yang bersebelahan Sungai Melaka menawarkan pengalaman menyentuh hidupan laut seperti tapak sulaiman, timun laut, landak laut, penyu serta obor-obor. Sangat mengagumkan bukan!

Pusat akuatik itu terbahagi kepada beberapa bahagian utama iaitu Teater Oceanarium, Tetamu Jerung, Muzium Cengkerang Laut selain Kehidupan Ikan dan Karang.

Dianggarkan terdapat lebih 300 spesies ikan pelbagai warna di The Shore Oceanarium. Ruang Jelajah Lautan ‘membenarkan’ segala rahsia alam yang hanya didengari sebelum ini termasuk kisah spesies ikan laut dalam yang boleh memberi kemudaratan kepada makhluk lain dan manusia.

Apa yang menarik untuk dipelajari kumpulan pelajar, mereka boleh meningkatkan pengetahuan tentang kepentingan sungai yang menjadi tunjang kepada ekosistem dunia.

Malah, mereka juga berpeluang meneroka fosil hidup di pameran kehidupan marin melibatkan khazanah dari Lautan Hindi, hiliran gunung China, sungai Australia serta Tasik Malawi. Begitu menakjubkan!

Di ruang tersebut, pameran sedia ada menempatkan fosil yang diperoleh sejak zaman berzaman melibatkan kehidupan laut dalam seperti nautilus, ketam gergasi dan ikan duyung.

Selepas menyelusuri pameran khazanah alam yang mengagumkan, pengunjung bergerak seiring dengan beberapa jenis ikan pelik seperti ikan buntal, ‘ikan katak’, kuda laut, ‘ikan paip’ dan obor-obor.

Aktiviti dinantikan dan disukai ramai pastinya memberi makan kepada ikan disediakan untuk pengunjung. Menariknya, acara Fish Feeding Frenzy itu melibatkan sekumpulan spesies ikan gergasi dan acara itu adalah pakej pilihan.

Selain mengunjungi kolam-kolam yang menempatkan spesies hidupan laut mengagumkan, orang ramai terutama kanak-kanak dapat mempelajari dunia haiwan di daratan yang terdiri daripada reptilia seperti ular, katak, rama-rama, serangga serta haiwan kecil lain termasuk spesies landak yang comel.

Tidak terhenti di situ, orang ramai juga berpeluang mengunjungi Magic Aquarium yang merupakan akuarium pertama seumpamanya di negara ini yang menyediakan pengalaman menyaksikan hidupan laut secara 3D.

Menerusi tarikan terbaharu iaitu Taman Interaktif Realiti Maya (VR) dan Augmented Reality (AR), penggunaan cermin mata seumpama itu menyemarakkan lagi keasyikan menjelajah dunia marin yang mempunyai 1,001 keunikan tersendiri.

Cermin mata 3D seakan memberikan suasana sebenar menyelusuri pokok-pokok bakau sekitar Sungai Melaka, hutan hujan di Pahang serta keindahan Sungai Perak selain menyaksikan batu fosil dan spesies ikan yang telah pupus secara 3D.

Selain permainan interaktif AR disediakan dan bergambar dengan raksasa seakan imej sebenar menerusi teknologi foto digital moden, tayangan 3D EX yang memakan masa sekitar 15 minit dipancarkan secara projektor laser dengan kualiti imej tinggi ditayangkan kepada orang ramai.

Menerusi tawaran baharu yang diberikan kepada pengunjung setia, harga tiket bagi pengunjung dewasa adalah RM40 manakala tiket kanak-kanak dan warga emas, masing-masing RM30.

The Shore Oceanarium dibuka setiap hari bermula pukul 10.30 pagi sehingga 9 malam, namun penjualan tiket hanya dibuka sehingga pukul 8 malam.

Maklumat lanjut layari laman web www.oceanariummelaka.com atau hubungi Bahagian Jualan dan Pemasaran The Shore Oceanarium melalui emel [email protected] atau talian 06-282 9966.