Setiap pengunjung hanya berpeluang menjalani rawatan terapi ini selama 15 minit dengan bayaran masuk RM5 untuk warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, RM2 untuk pelajar dan pengunjung di bawah umur 18 tahun.

Bagi pelancong asing, bayaran RM10 dikenakan, manakala bagi penduduk yang tinggal di kawasan Ranau, hanya perlu membayar tiket istimewa berharga RM3 seorang. Bagi pelancong yang ingin mandi-manda bersama ikan kelah pula dikenakan bayaran RM10 seorang.

IKAN kelah yang jinak berebut makanan yang diberikan pengunjung.
IKAN kelah yang jinak berebut makanan yang diberikan pengunjung. 

Laluan menuju ke lokasi Sungai Moroli amat mudah kerana terletak tidak jauh dari pintu masuk ke Sabah Tea Garden di Ranau. Perjalanan berkereta dari Kota Kinabalu pula hanya mengambil masa lebih kurang dua jam sahaja yang dihubungkan oleh jalan raya Sandakan-Kampung Luanti. Bagi pelancong, pakej terapi ikan kelah biasanya sudah diatur bersama dengan lawatan ke Dairy Farm Kundasang, Taman Negara Kinabalu atau Poring Hot Spring.

Untuk memanfaatkan terapi bersama kelah ini mudah sahaja. Cuma celup kaki dan tangan anda ke dalam air. Hanya dalam tempoh beberapa saat sahaja, puluhan kelah pasti akan menuju ke arah anda. Apa lagi jika anda membawa palet makanan ikan yang boleh dibeli dengan harga RM1 sepeket. Sebaik sahaja palet ikan ini ditabur di permukaan air, ribuan ikan menerkam sambil menyedut jari-jari tangan pengunjung. Pada masa yang sama, ikan-ikan ini turut menggigit kaki kita.

Jika anda merasa hendak dicium kelah, letakkan palet berdekatan hidung anda di permukaan air. Pasti kelah itu akan datang menyedut hidung kita dengan begitu lembut. Sebenarnya, kelah ini hanya memakan kupil atau kulit mati manusia. Bagi pengunjung yang pertama kali menjalani terapi bersama kelah jinak di Sungai Moroli ini pasti terasa geli geleman. Malah ada yang terjerit dan terlompat cuba melarikan diri daripada gigitan manja ikan-ikan kelah ini.

Inilah keunikan terapi bersama ikan kelah di Sungai Moroli ini. Sebaik sahaja meranduk air, ribuan ikan jinak ini terus menggigit lapisan kulit mati pada jari tangan dan kaki anda. Gigitan manja ini ikan kelah ini sebenarnya tidaklah menyakitkan langsung tetapi terasa geli apabila ikan-ikan ini mula menggigit tumit dan celahan jari kaki anda.

Anda tidak perlu risau. Sebenarnya, ikan kelah tidak mempunyai gigi yang tajam atau bertaring seperti ikan jerung sehingga boleh melukakan kaki seseorang sehingga berdarah. Mulut ikan kelah ini sebenarnya hanya sekadar boleh menghisap atau menyedut saki baki kulit mati pada kaki seseorang pengunjung. Gigitan, sedutan dan belaian manja ikan kelah pada kaki anda inilah yang menjadi terapi paling menyeronokkan semasa berada di Sungai Moroli ini.

PAPAN tanda mengingatkan pengunjung mematuhi peraturan di Sungai Moroli.
PAPAN tanda mengingatkan pengunjung mematuhi peraturan di Sungai Moroli. 

Sungai ini yang menjadi lubuk ikan kelah ini cetek sahaja sekadar paras buku lali dan jika meranduk airnya ke tengah sungai boleh mencapai kedalaman paras lutut orang dewasa. Bagi penduduk tempatan, ikan kelah yang dikenali sebagai ‘ikan pelian’ merupakan ikan paling istimewa dan dianggap sebagai raja sungai dan memiliki nilai tinggi di pasaran.

Terdapat pelbagai jenis ikan kelah di sini seperti berwarna putih, hitam dan keemasan. Kebanyakan yang mengerumuni kaki pengunjung jenis kelah hitam. Bagi kelah berwarna emas, agak jarang ditemui kerana memiliki harga tertinggi di pasaran yang boleh mencecah ribuan ringgit sekilogram.

Sebenarnya bukan mudah hendak bertemu ribuan ikan kelah yang begitu jinak kecuali ketika berada di Sungai Moroli di Ranau Sabah. Bagi penduduk di Semenanjung juga terdapat Santuari ikan kelah jinak di Tasik Kenyir dan di hutan Royal Belum, Perak.