Ia hanya sering dijadikan sebagai transit untuk ke Bukit Tinggi, Sumatera yang terkenal sebagai tempat membeli-belah yang menarik.

Namun, percutian Hasif Hamsyari baru-baru ini ke sana memberikan pengalaman yang berbeza, malah sangat mengujakan. Mana tidaknya, 14 pulau yang terdapat di Padang pastinya menyajikan pelbagai keunikan dan keindahan yang berharga untuk diterokai.

“Antara sebab yang membuatkan saya tertarik dengan Padang ialah nilai adatnya yang tidak jauh beza dengan masyarakat Minang di Negeri Sembilan.

“Tapi rupa-rupanya kota Padang menyimpan banyak lagi tarikan untuk diteroka,” katanya kepada S2.

Antara yang paling mencuri tumpuan ialah keindahan buaian dasar laut yang terletak di Pulau Suwarnadwipa yang juga dikenali sebagai Pulau Emas.

Sama seperti pantai di kawasan lain, pulau berkenaan turut menyediakan buaian yang cantik bagi membolehkan pengunjung bergambar dan bermain. Namun di sini, anda bukan hanya disajikan dengan buaian di pantai, bahkan di dasar laut.

Oleh itu, sekiranya anda seorang yang suka mencuba aktiviti ekstrem, boleh cuba menyelam ke buaian bawah laut ini serta bergambar untuk mengabadikan pengalaman unik itu.

Kedalamannya sekitar antara tiga dan empat meter sahaja dan pengunjung boleh berpaut pada tali yang telah disediakan untuk turun ke dasar.

Usah risau kerana ada pengawal keselamatan pantai yang akan memberikan bimbingan serta tunjuk ajar sebelum pengunjung turun ke dalam laut.

Selain itu, di situ juga menawarkan banyak aktiviti seperti berkanu, selam skuba dan menyelam.

Jika sudah puas bergambar dengan buaian bawah laut, pengunjung boleh meneruskan perjalanan ke Jambatan Siti Nurbaya yang menghubungkan kota tua Padang dengan Taman Siti Nurbaya.

Menurut Hasif, jambatan tersebut merupakan tarikan ikonik yang ada di kota Padang.

Hal ini kerana katanya, Siti Nurbaya sememangnya satu nama yang tidak asing lagi dalam kalangan orang tempatan di sana.

“Ia adalah sebuah novel karya agung Marah Rusli yang menyoroti pengorbanan dan cinta Siti Nurbaya untuk ayah dan kekasihnya.

“Dari jambatan sepanjang 156 meter di atas Sungai Batang Arau, pengunjung dapat menikmati pemandangan Padang yang cukup sederhana namun memukau,” ujarnya.

Di sekitar jambatan juga terdapat makanan tradisional tempatan seperti pisang bakar, jagung bakar dan sate Padang.

Di samping itu, bagi pengunjung yang suka tempat-tempat berunsurkan sejarah, mereka boleh melawat ke Pantai Air Manis yang menyimpan satu lokasi bersejarah cukup ikonik dalam pengkisahan cerita tauladan yang disampaikan sejak zaman-berzaman iaitu legenda Malin Kundang atau lebih dikenali Si Tanggang di Malaysia.

Batunya yang berbentuk seakan seorang lelaki yang sedang bersujud dengan di sekitarnya terdapat batu-batu berbentuk kapal yang telah hancur pasti akan menimbulkan perasaan yang sangat mengujakan.

Menu wajib nasi padang

Kalau berkunjung ke kota Padang, tidak sah rasanya jika tidak mencuba menu istimewa nasi Padang.

Ia merupakan menu kulinari yang cukup terkenal bukan setakat di seluruh Indonesia, malah di Malaysia juga.

Hidangan nasi Padang merangkumi pelbagai jenis lauk-pauk yang dihidangkan dalam pinggan-pinggan kecil.

Hasif mencadangkan pengunjung untuk mencuba hidangan nasi Padang di Sederhana Padang yang baginya sangat memuaskan.

Menurut Hasif, antara menu yang wajib dicuba ialah ayam cabe ijo (ayam cili hijau), kepala kakap kecil, pucuk ubi, gado-gado dan udang berlado.

Menariknya, pengunjung tidak perlu risau dengan bayaran.

Pelanggan akan dikenakan caj hanya untuk lauk yang dimakan walaupun sedikit.

Yang pastinya kota Padang sememangnya mempunyai tarikan tersendiri dari segi pelancongan, budaya dan makanan yang belum diterokai ramai.