Begitu juga dengan perbezaan agama dan bangsa tidak menjadi penghalang buat mereka yang percaya kepada erti persahabatan.

Niat untuk kembali bertemu rakan-rakan lama menjadi realiti apabila baru-baru ini Fazalina

FAZALINA ZAMIDON
FAZALINA ZAMIDON 

Zamidon, 30, memilih untuk ke Phnom Penh, Kemboja demi melawat kenalannya yang bermastautin di sana.

Fazalina ke Phnom Penh secara solo, namun tidak menjadi penghalang buatnya untuk teruskan pengembaraan bagi mengembalikan semula ikatan ukhuwah bersama rakan-rakannya sekali gus memberikannya pengalaman baharu.

Pembacaan tentang negara tersebut sebelum berangkat menjadi bekalan untuknya merancang percutian selama tiga hari itu sebagai kenangan yang akan sentiasa dipahat di hati.

Keadaan jalan yang agak berdebu dan tiada bangunan tinggi terasa agak janggal buat Fazalina yang terbiasa dengan pembangunan di Malaysia, Namun, Phnom Penh tetap memiliki keunikan tersendiri terutama perniagaan francais yang berada di kedai dua hingga tiga tingkat.

Kecekapan teknologi tanpa sempadan membolehkan Fazalina mudah bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi lain termasuk ke rumah tumpangan menggunakan aplikasi Grab.

“Kemesraan orang tempatan dan kesediaan mereka berkongsi maklumat kepada pelancong memudahkan saya untuk berjalan-berjalan di sekitar bandar Phnom Penh.

“Mereka mengesyorkan satu lagi jenis perkhidmatan e-hailing iaitu Passapp untuk mengesan teksi atau tuk tuk.

“Aplikasi ini lebih popular kerana memiliki lebih banyak pemandu. Anda masih boleh menahan pemandu tuk tuk Passap dan sebutkan destinasi. Mereka akan memeriksa harga dalam aplikasi serta memberitahu penumpang.

Cara ini sesuai bagi tempat pelancongan yang tiada kemudahan jalur lebar (Wi-Fi),” katanya.

Kali ini, Fazalina memilih Rumah Tumpangan RS II kerana kedudukannya yang strategik berdekatan Istana Diraja dan Muzium Nasional iaitu 25 minit dari lapangan terbang. Malah harga yang ditawarkan juga berpatutan sekitar RM66 untuk satu malam.

Walaupun rumah tumpangan tersebut tidak menyediakan sarapan, namun terdapat sebuah kedai kopi, Coffee Today terletak di tingkat bawah menyediakan pelbagai sarapan ala Barat yang enak pada harga amat murah dan beroperasi 24 jam.

Angkor Wat atau dikenali sebagai kuil kota merupakan kuil paling indah dan menjadi tarikan utama pelancong ke negara yang sedang beransur pulih daripada pemerintahan kejam Khmer Rouge.

Bagi Fazalina yang kesuntukan masa untuk melawat tempat tarikan pelancongan tersebut, dia tidak pulang dengan tangan kosong kerana masih berpeluang menjejakkan kaki ke sebuah kuil yang dibina sekitar abad ke-11 iaitu Phnom Chisor.

Phnom Chisor terletak 133 meter di atas bukit di desa Dok Por, Rovieng di daerah Samraong, Wilayah Takano iaitu 42 kilometer dari selatan Phnom Penh.

Kuil tersebut dibina menggunakan laterit dan batu bata dengan ukiran batu permata yang pastinya memukau pelancong.

Kompleks itu dikelilingi dinding yang sebahagiannya hancur. Kuil ini ditemui dari abad ke-11 yang pada ketika itu dikenali sebagai Suryagiri.

Untuk sampai ke atas, dia perlu menaiki 233 anak tangga.

“Keletihan mendaki hilang begitu sahaja apabila berpeluang melihat pemandangan yang indah sekali. Jika mendaki pada waktu petang akan berpeluang untuk melihat matahari terbenam di sini,” jelasnya.

Pemandangan di kuil tersebut antara yang terbaik dan sukar dilihat di tempat lain terutama ketika waktu matahari terbit serta terbenam.

Berdekatan kuil tersebut terdapat kuil moden Buddha, Vihara yang digunakan oleh sami yang bermastautin untuk melakukan ritual mereka.

Selain menaiki Grab atau Passap, pelancong juga boleh ke sana dengan motosikal.

Sepanjang perjalanan ke kuil Phnom Chisor, dia terpegun melihat keindahan selatan Phnom Penh.

Walaupun pembangunan Kemboja masih jauh ketinggalan berbanding Malaysia, namun masih terdapat keindahan yang sukar diungkap dengan kata-kata serta dalam masa sama membuatkan dia bersyukur dibesarkan di negara sendiri.

Tidak sah percutian sekiranya tidak mencuba menu ‘wajib’ bagi orang luar iaitu menikmati udang air tawar yang diternak secara besar-besaran di negara berkenaan.

Bagi mereka yang kali pertama ke sini, mungkin tercari-cari restoran halal yang menghidangkan udang air tawar dalam pelbagai menu di sekitar Phnom Penh.

Fazalina bernasib baik kerana tidak perlu mencari restoran halal apabila rakan-rakannya membawanya ke satu kawasan kampung untuk mencuba udang air tawar yang segar.

Wajib cuba 
udang air tawar

Kebiasaannya penduduk 
di Kemboja menikmati makanan dengan sekurang-kurangnya tiga atau empat hidangan berasingan. Juadah biasanya termasuk sup atau samlor disajikan bersama hidangan utama.

Setiap hidangan memiliki rasa yang berlainan iaitu sama ada manis, masam, masin atau pahit.

Perjalanan ke sana mengambil masa selama dua jam. Pun begitu, jarak jauh tidak terasa apabila sepanjang perjalanan mereka berbual dan berkongsi pelbagai cerita termasuk mengenang kembali momen persahabatan.

Fazalina terpukau dengan keindahan restoran yang berlatarbelakangkan kolam yang dipenuhi pelbagai jenis ikan.

Walaupun restoran berkenaan sentiasa 
dipenuhi pelanggan, namun mereka menyediakan perkhidmatan yang pantas dan mesra pelanggan, malah rasanya enak sehingga menjilat jari.