Bayou Lagoon Park Resort merupakan resort gabungan yang berintegrasikan taman air dan kemudahan lain seperti teater 9D, Muzium Seni Silat Mata dan Amusement Park di dalam satu kawasan.

Bayou Lagoon Park Resort yang bertempat di Bukit Katil, Melaka merupakan sebuah resort bertaraf empat bintang yang menawarkan pelbagai kemudahan yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Pelancong boleh menginap di resort ini sambil mandi-manda dengan rakan taulan atau bersama keluarga. Resort ini mempunyai 502 unit pangsapuri yang terdiri daripada 270 unit bilik studio, 152 unit apartment dua bilik, 76 unit apartment tiga bilik serta empat unit penthouse. Bilangan dan jenis bilik yang ada amat sesuai untuk himpunan para peniaga, seminar, perkahwinan serta acara sosial. Sekiranya anda ingin ke sana, jangan lupa untuk menginap di bilik apartment yang juga menghadap taman tema air yang dibina di antara dua blok apartment.

Taman air

Taman air Bayou Lagoon yang terdiri daripada tiga jenis gelongsor air utama dibuka kepada orang ramai sejak pertengahan 2014. Gelongsor air ini boleh digunakan bersama-sama ada penginap resort mahupun orang awam. Menariknya, gelongsor air yang disediakan di taman air itu sesuai untuk pelbagai peringkat usia dan anda sekeluarga boleh menikmati keseronokan bersama-sama.

Tidak ketinggalan, tea­ter 9D iaitu teater digital interaktif yang disediakan di taman air tersebut, memberikan penonton teater digital nafas baharu. Dilengkapi laser blasters selain cermin mata tiga dimensi. Setiap satu pengalaman menggabungkan gerakan roller coaster dengan cabaran menembak secara interaktif. Pengunjung juga dapat menikmati pengalaman paparan skrin komputer yang dihasilkan melalui bunyi keliling, pergerakan, bau dan kesan visual 3D.

Selain itu, Muzium Seni Silap Mata atau 3D Magic Art Museum disediakan untuk mereka yang gemar aktiviti bergambar. Semestinya lokasi ini menjadi tempat tarikan santai di kawasan seluas 929 meter persegi. Muzium ini turut menempatkan sejumlah 55 lukisan dinding dengan tema Angkor Wat dan Mesir Purba. Aksi yang dilakukan semasa bergambar di muzium tersebut memberi kelainan sekali gus mampu memberikan kepuasan kepada keluarga dan rakan yang suka merakam foto.

Selain kemudahan seisi keluarga, pihak resort juga mempunyai sebuah pusat konvensyen yang besar untuk majlis atau mesyuarat di dua dewan iaitu Pusat Konvensyen Bayou 1 yang terbesar dengan jumlah maksimum sebanyak 800 orang dan Pusat Konvensyen Bayou 2 yang boleh memuatkan 600 orang. Ini menjadikan dua pusat konvensyen itu sebagai pilihan lokasi ideal un­tuk mengadakan hari keluarga, majlis perkahwinan, persidangan, konsert dan pameran.

Bagi yang ingin merasai sendiri keseronokan di Bayou Lagoon, boleh mendapatkan maklu­mat lanjut dengan layari laman web www.bayoulagoon.com.my, selain mengikuti perkembangan dan promosi resort dari semasa ke semasa di www.facebook.com/bayoulagoon.