Meskipun baru dibuka sejak Mac lalu, restoran ini sememangnya mampu bersaing dengan restoran lama yang ada sekitar Bangi. Menampilkan konsep casual style dining dan multi cultural, ia memberikan suasana restoran yang ‘edgy’ dan ‘modern classical’ bagi memberikan keselesaan pada pelanggan.

Menurut pemiliknya, Khairul Hisham, restoran ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan. Ia tidak tertakluk kepada satu jenis masakan atau makanan sahaja tetapi mempunyai lebih lima kategori makanan.

“Seperti yang kita tahu, tekak atau selera orang kita adalah pelbagai. Terutamanya apabila datang bersama keluarga, kalau ada lima orang, kadang-kadang kelima-lima orang itu mempunyai selera pelbagai. Seorang mungkin ingin masakan panas, seorang lagi mungkin sedang diet dan nak makan yang ringan-ringan, manakala ahli keluarga lain mungkin ingin makan masakan barat.

“Justeru, Restoran I Hidang sangat bersesuaian dengan situasi itu kerana kami menampilkan kepelbagaian menu yang terdiri daripada citarasa tempatan dan antarabangsa. Ia meliputi masakan Melayu, Cina, dan masakan barat,” jelas Khairul Hisham.

Tambahnya lagi, ruang restoran yang begitu selesa turut sesuai bagi mereka yang ingin melepak santai atau untuk mengadakan perbincangan serta menyambut hari-hari istimewa seperti hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan pelbagai kejutan lain. Kesemua itu boleh direalisasikan oleh pelanggan dengan bantuan 9 orang pekerja yang diketuai oleh Shafiqahtul Asriah Mohd Rusdi yang berpengalaman luas dalam mengendalikan perniagaan makanan.

Antara menu yang pasti membuatkan pelanggan teringat-teringat adalah Nasi Goreng ihidang, spaggeti alle vongole dan spaggeti pescatora. Selain itu, pelanggan juga boleh mencuba wantan noodle dumpling soup yang memang merecik habis. Antara lain yang wajib dicuba adalah Nasi Goreng Soft Shell Crab yang dimasak sempurna oleh chef yang berpengalaman.