Biar pun, agak asing bagi pelancong di Malaysia, Nha Thrang dan Dalat yang terletak dalam wilayah Khanh Hoa iaitu di bahagian pantai selatan negara itu mempunyai pelbagai tarikan menarik terutamanya dalam kalangan peminat bunga.

Bagi pencinta bunga, lokasi ini pasti menjanjikan kepuasan dengan pelbagai jenis bunga yang cantik, indah dan berwarna-warni. Pasti mengujakan apabila terdapat deretan bunga tulip dan lavender yang pelbagai warna seperti berada di Belanda dan New Zealand.

Di sini terdapat juga bunga matahari bersaiz besar berwarna kuning, mekar dan tumbuh di kawasan ladang yang sangat luas. Di kelilingi dengan bunga-bunga matahari yang besar dengan berlatar belakangkan langit terbentang luas sudah tentu akan memberikan kepuasan tidak terhingga kepada pelancong.

Menurut Pengarah Urusan Kembara Sufi Sdn. Bhd., Muhammad Al-Fadzil Hidzir, destinasi pelancongan di Nha Thrang dan Dalat sangat jarang dilawati oleh pelancong Malaysia kerana lokasi tersebut masih belum diteroka sepenuhnya.

"Menariknya di sini suasananya macam di Eropah dan negara beriklim sejuk. Paling terkenal di sini ialah bunga tulip. Tambahan pula sekarang adalah musim bunga itu berkembang. Sekali imbas, kita seperti berada di Jepun dan Korea yang mempunyai musim bunga yang sangat indah," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Muhammad Al-Fadzil, pakej ke Nha Thrang dan Dalat telah dibuka sejak empat bulan lalu dan sentiasa mendapat tempahan yang menggalakkan daripada pelancong tempatan terutama peminat-peminat bunga.

Beliau berkata, sebelum pakej destinasi tersebut dibuka, pihaknya telah melawat sebanyak tiga kali lokasi tersebut bagi memastikan destinasi pelancongan itu benar-benar berbaloi dan memuaskan hati sekiranya dibuka untuk pelancong tempatan.

Ujarnya, pelancong yang mengikut Kembara Sufi juga tidak perlu bimbang mengenai penyediaan makanan halal kerana setiap perjalanan yang dianjurkan oleh syarikatnya adalah patuh syariah, menitik beratkan waktu solat dalam kalangan pelancong muslim dan mesra warga emas.

"Pelancong yang berminat untuk meneroka destinasi di Nha Thrang dan Dalat boleh melayari laman web, http://kembarasufi.com atau Facebook Kembara Sufi Travel & Tours. Selain negara ASEAN, pelbagai lokasi menarik di Eropah, Korea, Jepun dan lain-lain juga disediakan," katanya.

* Pembaca boleh menyumbang artikel destinasi kepada [email protected]