Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 35 minit dari Terminal Feri Changi yang boleh memuatkan 100 penumpang pada satu-satu masa.

Ia sekaligus dapat meningkatkan kemasukan pelancong ke Desaru yang kaya dengan pelbagai produk pelancongan seperti hotel ternama dan kawasan pesisir pantai sepanjang 17 kilometer.

“Ada yang mengatakan bahawa keadaan di Tambak Johor (rakyat Singapura) perlu masa tiga hingga empat jam untuk merentasi sempadan sahaja.

“Feri ini ramai tidak tahu (wujud), oleh sebab itu dengan adanya feri ini mereka boleh terus ke sini dengan hanya 35 minit,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pemain industri pelancongan Malaysia-Singapura di Lotus Desaru Beach Resort and Spa semalam.

Menurut Musa, menerusi sesi dialog bersama 80 pemain industri terutama agen-agen pelancongan itu diharapkan dapat mempromosikan produk pelancongan antara dua negara.

“Dalam dialog ini juga kita ingin tahu isu atau permasalahan yang boleh kita perbaiki untuk pemain industri pelancongan.

“Antara perkara yang kita boleh ambil perhatian adalah melihat kepada servis yang boleh dipertingkat dan ditambahbaik seperti terminal feri dan bus shuttle,” katanya. - BERNAMA