Dia yang menetap di Taman Meru, Ipoh, Perak bersama rakan-rakan alumni Sekolah Menengah Convent Batu Gajah sesi tingkatan lima tahun 1985, Suzana Ahmad (ketua rombongan), Faziah Alias, Nor Baya Bidin, Halinda Samsudin, Safazalina Anida Ishak dan Rozana Abdul Rahim melancong ke Istanbul dan Bursa selama lapan hari.

Tujuan lawatan itu adalah untuk merapatkan semula hubungan mereka yang terputus selepas persekolahan di samping bercuti sambil berehat pada musim sejuk di rantau orang.

“Saya amat teruja apabila pertama kali dapat menjejakkan kaki di situ.

“Kenangan manis bersama rakan-rakan sekolah ini tidak mungkin dapat saya lupakan sepanjang hayat,” katanya.

Antara tempat menarik yang mereka kunjungi adalah Aya Sofia iaitu kawasan gereja zaman kerajaan Constantinopal ditukar menjadi masjid di zaman Othmaniah, tetapi kemudiannya menjadi gereja semula apabila kerajaan berkenaan dijatuhkan.

Tempat lain yang turut dilawati mereka adalah Masjid Biru, Istana Topkapi dan muzium tinggalan sejarah kerajaan Othmaniah.

Pameran tinggalan nabi-nabi dan sahabat Rasulullah termasuk pedang serta helaian janggut Nabi Muhammad SAW turut dikunjungi mereka.

Selain itu, mereka sempat berkunjung ke Grand Bazaar dan Spice Bazaar yang terbesar dan tertua di dunia dan kawasan bunga tulip di Gulhane Park di samping menaiki Bosphorus Cruise.

Di Bursa mereka sempat menaiki kereta kabel terpanjangg di dunia menuju ke kawasan salji di Mount Uludaq dan seterusnya ke Green Mosque.

Menurut Nor Rizan, kesan sejarah, bentuk muka bumi yang cantik, binaan bangunan lama yang masih kekal dan indah di samping mempunyai tempat membeli-belah barangan istimewa menjadikan Turki daya tarikan besar kepada pelancong ke negara berkenaan.

“Kawasan yang dikunjungi berada berhampiran antara satu sama lain memudahkan kami dengan hanya berjalan kaki atau menaiki kereta api disediakan,” katanya.

Rombongannya yang menginap di Hotel Comfort, Istanbul membelanjakan wang sebanyak RM4,400 bagi menyertai pakej pelancongan itu termasuk tiket kapal terbang, pengangkutan menaiki kereta kabel ke kawasan bersalji, makan malam dan persembahan atas kapal di samping mengelilingi sekitar Istanbul dengan menaiki bas.

Nor Rizan berkata, melalui lawatan itu dia dapat menyaksikan suasana kehidupan masyarakat Islam Eropah yang mempunyai pelbagai jenis makanan dan budaya yang luar biasa.

Walau bagaimanapun katanya, loghat bahasa Inggeris penduduknya sukar difahami berbanding negara lain.

Katanya, antara makanan yang sedap dan istimewa dinikmati di sana adalah kebab, jus buah-buahan dan manisan.

Menurutnya, harga barangan yang dijual agak murah setanding dengan negara sendiri.

“Suhu yang mencecah 11 hingga 13 darjah Celsius di puncak Mount Uludag yang diseliputi salji melahirkan suasana yang nyaman.

“Ia memberi keselesaan dan keseronokan yang tidak mudah dilupakan sehingga akhir hayat.

“Saya bercita-cita datang semula bersama ahli keluarga ke tempat ini suatu masa nanti,” katanya.

Perasaan sukar digambarkan

Peserta ternyata amat teruja dengan pengisian program sepanjang lawatan tersebut. Faziah Alias, 51, berasa sangat teruja, seronok dan terharu apabila berkesempatan mengembara bersama rakan-rakan sekolahnya.

“Saya berpeluang melihat sendiri tempat dan budaya orang lain di samping menyak­sikan keindahan alam sekitar di Turki.

“Pengala­man paling menye­ronokkan adalah apabila dapat melihat dan menyentuh bunga tulip yang cantik dan menjadi idaman selama ini di samping dapat pula bermain salji di Mount Uludaq bersama rakan-rakan sekolah.

“Inilah lawatan yang pertama ke luar negara setelah disahkan bebas daripada penyakit kanser sejak dua tahun lalu,” katanya.

Bagi Safazalina Anida Ishak, 50, dia gembira menyertai rombongan rakan-rakan sekolah ke Turki.

“Saya berasa seronok kerana dapat menikmati pemandangan alam yang sangat indah dengan dipayungi langit biru.

“Bandar ini juga dikelilingi bunga dengan orang Turki yang berwajah cantik dan kacak belaka di samping mempunyai seni bina Islam hebat hasil tinggalan kerajaan Othmaniah selain bazar yang paling besar serta antara tertua di dunia.

“Kami juga terharu dapat melihat peninggalan barang-barang milik Rasullulah dan berasa sebak melihat baju anakanda baginda, Siti Fatimah serta pedang milik sahabat Nabi SAW,” katanya.

Seorang lagi rakan mereka, Rozana Abdul Rahim, 51, turut mengukir satu memori yang sangat indah bersama rakan-rakan sekolahnya dalam lawatan berkenaan.

“ Kebetulan kami pergi waktu cuaca yang sangat sejuk, nyaman dan selesa sehingga menyebabkan rasa seronok ketika berada di bumi bertuah berkenaan,” katanya.