Sebaliknya, petani atau penternak moden kini semakin bijak mencari peluang dan memperluaskan aktiviti pertanian kepada satu tahap yang lebih tinggi.

Sektor itu kian mengalami transformasi dan berkembang kepada subsektor yang mampu menjana sumber ekonomi lain melalui aktiviti pelancongan atau lebih dikenali sebagai agro pelancongan.

Bukan sahaja mampu menambah pendapatan petani, ia juga dapat memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai aktiviti pertanian secara dekat terutama kepada generasi muda.

Itulah yang dilakukan oleh Nur Farm Agro, sebuah syarikat perladangan berasaskan penternakan yang terletak di Hulu Langat, Selangor turut menjalankan aktiviti pertanian secara agropelancongan sejak 11 tahun yang lalu.

Bukan sahaja menjalankan projek penternakan kambing dan penanaman pokok, syarikat itu juga memiliki beberapa buah inap desa khas untuk pengunjung yang mahu meluangkan masa bermalam dan merasai suasana kampung di tanah ladang tersebut.

Menurut pengasasnya, Abdul Adziz Hassan, 64, agropelancongan yang disediakannya dapat menjadi platform untuk mengetengahkan industri perladangan dan penternakan kambing di negara ini terutama kepada generasi muda.

Katanya, anak muda terutama murid-murid sekolah perlu diberi pendedahan awal mengenai aktiviti perladangan dan penternakan agar dapat memberi pengetahuan kepada mereka seawal usia.

“Budak-budak sekarang tidak ramai yang mengenali spesies pokok buah-buahan. Jadi, kita mahu menyediakan satu kemudahan yang boleh menjadi tempat untuk mereka belajar mengenali pokok.

“Setakat ini Alhamdulillah, Little Caliph sudah hampir 12 kali membawa murid-muridnya membuat lawatan dan banyak mereka belajar mengenai pokok-pokok dan haiwan ternakan di sini,” ujarnya.

Selain itu, tambahnya, dia mahu mengubah stigma sesetengah masyarakat yang menganggap penternakan merupakan suatu pekerjaan yang kotor, malah kandang kambing sendiri sering dianggap sebagai satu tempat yang busuk.

“Di sini saya memang menjaga kebersihan kandang dengan begitu baik untuk mengurangkan bau-bau yang tidak menyenangkan.

“Kita hendak tunjukkan kepada pengunjung yang datang ke sini bahawa kandang kambing itu tidak semestinya busuk. Jika diuruskan dengan baik dan betul, ia tidak menjijikkan pun seperti yang disangka,” katanya yang mendapat ilham membangunkan konsep farmstay daripada percutiannya di New Zealand lima tahun lepas.

Oleh itu jelasnya, tempat berkenaan akan menjadi lebih mesra pengguna atau ‘public friendly’ untuk menjadi sebuah destinasi agropelancongan yang ideal.

Pertanian lestari

Menggunakan setiap peluang yang ada dengan sepenuhnya, Abdul Adziz turut menjalankan pertanian secara lestari bagi mengelakkan pembaziran.

Berbekalkan minat yang ada dan ilmu mengenai pertanian ketika menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) suatu ketika dulu digunakan sebaiknya untuk menghasilkan aktiviti pertanian bersepadu (integrated farming).

Oleh itu, selain mempunyai ternakan biri-biri dan kambing serta pokok buah-buahan, dia turut menghasilkan baja organik dan campuran tanah tanamannya sendiri.

“Saya pastikan setiap aktiviti penternakan dan pertanian yang saya lakukan tidak sia-sia. Bermula daripada penternakan kambing, tinjanya saya gunakan untuk buat baja.

“Baja organik itu kemudiannya digunakan untuk tanam pokok yang kemudiannya pokok itu dijual di pasar tani setiap hari Sabtu yang boleh mendatangkan pendapatan. Malah, baja dan tanah campuran juga kami jual,” jelasnya.

Bagi perancangan masa depan, dia bercadang membuka fasiliti latihan pertanian di kawasan tanah ladang tersebut yang terbuka kepada sesiapa saja berminat mempelajari ilmu pertanian.

Mengingatkan kampung halamannya di Seri Menanti, Negeri Sembilan, Abdul Adziz memilih suasana desa ketika merangka idea membina rumah penginapan di ladang kambingnya.