Lokasinya yang strategik dengan kawasan tinggalan sejarah seperti Candi Borobudur menjadikan bandar ini sangat unik untuk dilawati oleh pelancong.

Reka bentuk bangunan tinggalan sejarah yang unik ini turut menjadikan tempat ini unik terutama bagi pelancong yang ingin bergambar dengan latar belakang bangunan bersejarah.

Menurut Asrul Effendi Kamaruzzaman, percutiannya selama empat hari dan tiga malam bersama-sama rakan sekerja dan bapanya amat menyeronokkan dan memperoleh pengalaman yang sangat bernilai.

“Ketibaan kami di Lapangan Terbang Adi Sutjipto, Yogyakarta disambut oleh Pak Imbuh Suyono yang merupakan pekerja kebun kelapa sawit milik bapa saya di Felda Pasoh 1, Jelebu sebelum dibawa ke rumahnya di Desa Purbosari Kecamatan Ngadirejo Kabupaten Temanggung.

“Rumahnya terletak di kawasan kaki pergunungan yang membuatkan kami diselebungi rasa sejuk pada waktu pagi. Selepas menikmati sarapan yang disediakan, kami dibawa melawat tapak Candi Liyangan yang terletak tidak jauh dari lokasi tempat tinggal,” katanya.

Tambahnya, penyelidikan terhadap tapak bersejarah itu telah dijalankan oleh Balai Arkeologi di situ yang kemudian dibangunkan sebagai salah satu produk dan pusat pelancongan menarik di Indonesia.

Selepas melawat candi bersejarah itu, mereka kemudiannya meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin dituju iaitu Candi Borobudur yang terletak di desa Boro, Kabupaten Magelang, Jawa Tengah.

“Candi Borobudur yang berkeluasan 2,500 kilometer persegi telah diiktirafkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai Tapak Warisan Dunia sejak 1991.

Monumen bersejarah itu dibina sebagai tempat pemujaan penganut agama Buddha kerana pada satu ketika dahulu seluruh Pulau Jawa didiami oleh penganut agama tersebut,” katanya.

Setelah menghabiskan masa hampir satu jam melawat Candi Borobudur, mereka kemudiannya meneruskan perjalanan melawat kawasan yang telah mengorbankan seramai 275 orang dalam tragedi letupan Gunung Merapi pada 2010.

“Hujan lebat mengiringi sepanjang perjalanan menuju ke Gunung Merapi yang terletak di Jawa Tengah.

“Namun, ia tidak melemahkan semangat kami untuk melihat kawasan yang kini menjadi salah sebuah pusat pelancongan yang terkenal di sini,” katanya.

Menurut Asrul effendi, Ketika sampai kaki Gunung Merapi, mereka dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk melihat kesam peninggalan tragedi letupan gunung berapi itu.

“Ketika melawat kedua-dua tempat tersebut kami telah diberikan penerangan oleh pemandu tersebut mengenai sejarah Gunung Merapi sebelum meneruskan perjalanan ke ibu kota,” katanya.

Kompleks Istana pamer sejarah dan artifak kesultanan

Pada keesokan harinya, Asrul Effendi menaiki beca yang menggunakan enjin motosikal menuju ke kompleks istana dikenali sebagai Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat yang menjadi daya tarikan utama pelancong di Yogyakarta.

Kompleks istana ini merupakan sebuah muzium yang mempamerkan sejarah dan artifak Kesultanan Yogyakarta yang turut menjadi salah sebuah pusat kebudayaan masyarakat setempat di situ.

Sepanjang lawatan di istana itu, mereka diberikan penerangan oleh petugas yang menjaga istana tersebut mengenai sejarah masyarakat setempat dan melihat artifak-artifak yang dipamerkan di situ.

Selesai sahaja menunaikan solat Jumaat, mereka kemudian menikmati makan tengah hari sajian nasi padang di restoran yang berhampiran dengan hotel penginapan

Setelah mengisi perut, merela bersiar-siar di sebuah pusat beli-belah ‘Malioboro sambil membeli ole-ole dan cenderahati untuk dibawa pulang.

“Orang ramai kelihatan memenuhi Malioboro yang amat terkenal sebagai pusat beli belah di Yogyakarta. Selain kenderaan, Malioboro juga dipenuhi dengan kereta kuda dan beca untuk membawa penumpang. Kami juga melihat persembahan muzik jalanan oleh sekumpulan anak muda di bahu jalan di Malioboro,’’ ujarnya.

Candi Prambanan terbesar di Asia Tenggara

Hari terakhir sebelum pulang ke Kuala Lumpur, mereka singgah sebentar melawat sebuah lagi monumen bersejarah iaitu Candi Prambanan yang terletak 20 kilometer di timur Yogyakarta.

Candi Prambanan adalah candi Hindu terbesar di Asia Tenggara iaitu ketinggian bangunan utama 47 meter.

Kompleks candi itu terdiri daripada lapan kuil atau candi utama dan lebih daripada 250 candi kecil. Selesai sahaja melawat Candi Prambanan, mereka lalu meneruskan perjalanan menuju ke lapangan terbang.

Sesungguhnya percutian di Yogyakarta bukan sahaja amat menggembirakan, malah juga memberikan manfaat dan ilmu pengetahuan berkenaan sejarah serta budaya hidup masyarakat Jawa di samping meluaskan lagi pemandangan dalam kehidupan mereka. Yogyakarta, semoga ketemu lagi!